Gagal Urus Bekalan Air, ‘Cikgu Ali’ Desak CEO SAMB Letak Jawatan

TANGGA BATU, 31 Okt – Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad mengesa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Abd Rashid Ab Rahman untuk meletakkan jawatan.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Ali berkata ini kerana masalah gangguan bekalan air sering berlaku di beberapa kampung di kawasan Tangga Batu sehingga menyusahkan masyarakat setempat.

“Saya ingin membuat satu kenyataan tegas kepada SAMB ekoran gangguan bekalan air yang sering melanda masyarakat, kami kesal kerana mereka seolah-olah tidak bertindak dalam mengatasi masalah ini dengan kadar segera dan baik.

“Kejadian (gangguan bekalan air) ini telah banyak kali berlaku dan amat menyusahkan masyarakat terutama golongan tua (uzur), kurang upaya dan kanak-kanak,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Terdahulu Mohamad yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri mengadakan lawatan ke beberapa rumah penduduk kampung yang terlibat dengan masalah gangguan bekalan air.

Menurut Mohamad lagi pihaknya turut menerima aduan bekalan air yang diterima masyarakat setempat adakalanya tidak bersih sehingga ada yang terpaksa membeli air mineral untuk kegunaan seharian.

Ketika mengulas lanjut beliau berkata adalah sangat tidak bertanggungjawab apabila masalah yang telah melanda sejak sekian lama ini tidak dapat di selesaikan dengan segara.

“Mana tanggungjawab kamu (SAMB) dalam mengurus bagi memastikan masyarakat di kawasan ini mendapat air yang bersih, negara dah berada di zaman 2020 tidak ada sebab masyarakat perlu menderita dengan nasib yang tidak baik bagi mendapatkan bekalan air bersih.

“Kalau CEO masih gagal bertindak dalam masa terdekat saya minta beliau meletak jawatan kerana tidak bertanggungjawab kepada masyarakat. Saya nak ingatkan bila kita pegang jawatan bukan bermaksud boleh duduk berehat dan berseronok kerana jawatan itu merupakan amanah dan tanggungjawab,” tegasnya lagi.

Beliau turut menegaskan akan meminta seluruh masyarakat di kampung-kampung yang terlibat untuk menandatanggani bantahan agar Abd Rashid meletak jawatan agar masalah yang sama tidak berulang di masa hadapan.

Antara kampung yang terlibat dengan gangguan bekalan air adalah Kg Pantai Rombang, Kg Bukit Darat, Kg Pengkalan Perigi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit