Perkhidmatan Awam Peka Dan Responsif Untuk Capai Sasaran RMK12
Beliau berkata kecekapan dan produktiviti organisasi serta penjawat awam juga perlu ditambah baik kerana sasaran dan objektif RMK12 adalah mustahil untuk dicapai sekiranya tiada sokongan dan usaha gigih daripada semua ahli ‘Keluarga Perkhidmatan Awam’ sebagai satu pasukan.
“Perkhidmatan awam akan ditransformasi melalui pendekatan keseluruhan kerajaan, dengan mengambil kira bahawa kejayaan pelaksanaan inisiatif memerlukan keterlibatan semua peringkat kerajaan,” katanya pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perkhidmatan Awam secara maya hari ini.
RMK12 menetapkan sasaran dalam memacu produktiviti perkhidmatan awam iaitu untuk Malaysia mencapai kedudukan 30 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International, dan mencapai kedudukan sembilan teratas bagi sub-indeks kecekapan Kerajaan dalam World Competitiveness Yearbook terbitan Institut Pembangunan Pengurusan (IMD).
Sasaran RMK12 lain adalah meningkatkan capaian kepada perkhidmatan dalam talian daripada peringkat awal ke akhir kerajaan Persekutuan kepada 80 peratus dan mencapai kedudukan 12 teratas bagi sub-indeks Perkhidmatan Dalam Talian dalam United Nations EGovernment Development Index (EGDI).
Pada 27 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan RMK12 dengan tema Keluarga Malaysia: Makmur, Inklusif, Mampan yang menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara.
Mohd Khairul Adib berkata dasar-dasar yang digariskan dalam RMK12 penting dalam memandu negara bagi mendepani situasi mencabar akibat wabak COVID-19 dan disusun bagi mencapai pertumbuhan ekonomi secara mampan dengan memfokuskan kepada agihan kekayaan yang lebih saksama, kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar.
Beliau mahu semua ketua jabatan dan pegawai mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu kecekapan serta memastikan kerja-kerja tertunggak sedia ada diselesaikan sebaik-baiknya.
“Keputusan-keputusan harus dibuat dengan segera agar tidak membebankan jabatan, pelanggan dan orang ramai daripada segi kos dan masa,” katanya yang mahu amalan tidak produktif dalam jabatan dibasmi untuk membawa kemajuan dalam produktiviti di pejabat masing-masing.
Dalam tempoh RMK12, Mohd Khairul Adib berkata perkhidmatan awam perlu menjadi lebih cekap dengan meningkatkan keupayaan dan penyampaian melalui pendigitalan dan inovasi.
“Organisasi yang dinamik perlu sentiasa berfikir dan bertindak ke arah penambahbaikan penyampaian perkhidmatan berterusan, atau dalam budaya Jepun dikenali sebagai kaizen, dalam menjalankan proses perubahan,” katanya.
Pada masa sama, katanya penjawat awam harus menghormati dan menghargai amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan, dan juga terhadap jawatan disandang.
“Penjawat awam harus kembali kepada dasar seperti mana Aku Janji kita untuk berkhidmat sehabis baik dan cemerlang, serta mengikis sebarang unsur ‘kepentingan diri’ dalam menjalankan tugas,” katanya.
Mohd Khairul Adib berkata semangat persaudaraan dan kerjasama kesemua penjawat awam harus digembleng dan disepadukan ke arah mengukuhkan penyampaian perkhidmatan.
“Hakikatnya semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan mempunyai fungsi dan peranan masing-masing serta saling melengkapi dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya. – BERNAMA