PRN Melaka: BN Janjikan Terbaik Buat Rakyat, Manifesto Ringkas Tapi Lekat Di Hati – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjanjikan bahawa manifesto yang bakal diketengahkan oleh parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kelak bakal membawa signifikannya yang tersendiri buat rakyat.

Beliau yang juga Presiden UMNO turut meminta jawatankuasa yang menguruskan hal ehwal manifesto ini untuk melakukan sebaiknya demi kepentingan rakyat di negeri ini.

“Kita telah menentukan manifesto dan garis-garis besar untuk rakyat negeri ini sebagai hidangan dan aku janji bukannya ‘aku janji bukan kitab suci’ tapi kita akan laksanakan aku janji ini demi kepentingan rakyat Melaka keseluruhannya.

“Biar manifesto itu pendek tetapi lekat di hati. Itu sebabnya manifesto ini mesti dibawa oleh calon-calon sebagai hidangan kepada pengundi di tempat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN yang telah ditetapkan pada November ini.

Turut hadir adalah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Lembaga Penasihat, Datuk Seri Najib Razak; Naib Pengerusi, Tan Sri S.A Vigneswaran, Arthur Joseph Kurup; Setiausaha Agung, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; dan Bendahari, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sementara itu beliau juga turut menggariskan beberapa faktor utama untuk pemilihan calon pada PRN ini yang memiliki keupayaan memberikan kemenangan kepada parti.

“Calon ini mesti ada sikap WALI iaitu winnable (boleh menang), acceptable (boleh diterima) dan likeable (disukai) yang boleh diterima oleh semua agama, kaum dan keturunan di negeri Melaka.

“Tentunya di dalam keadaan begitu ketentuan bahawa biarpun lambang BN terus menjadi pilihan namun faktor calon adalah penentu kepada kemenangan.

“Saya harapkan semua jentera BN baik dari UMNO, MCA dan MIC di peringkat Pusat Daerah Mengundi dan Dewan Undangan Negeri jangan fikir bahawa ada favouritism yang akan dilakukan dalam pemilihan calon,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit