UMNO Berdepan Cabaran, Hati-hati Individu Tinggalkan Parti Tapi Bercakap Soal Perjuangan – Megat Zulkarnain
AMPANG, 26 Okt – Kelancaran persidangan Cawangan-cawangan UMNO yang berlangsung sejak bermula pada 15 Oktober lalu membuktikan bahawa dalam keadaan apa sekalipun, akar umbi UMNO tetap bersemangat meneruskan perjuangan parti.
Demikian tegas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omrdin kepada anggota akar umbi UMNO dalam ucapannya baru-baru ini, di sini.
Namun katanya, anggota parti perlulah terus berhati-hati dengan mereka yang bercakap soal perjuangan sedangkan dalam keadaan UMNO menjadi pembangkang mereka beralih arah.
“Segala aturan telah tersusun begitu rapi. Kita berjaya mengurus kekalahan dengan begitu baik, menerima kekalahan, muhasabah dan istiqamah. Orang-orang yang dulu malu kepada UMNO dan meninggalkan kita tapi sekarang pula nak bersama kita, maka hati-hatilah dengan mereka ini yang kononnya mengajar atas nama perjuangan.
“Mereka yang meninggalkan parti di saat tewas bukan pejuang sebaliknya kitalah pejuang sebenar iaitu terus bersama parti biarpun kalah, malah sekarang bangkit kembali.
“Jangan lupa wajah-wajah yang tak pernah malu iaitu ahli UMNO yang tulin dan pejuang sebenar. Inilah kesungguhan anggota akar umbi dan kita akan pastikan UMNO tidak ditindas dan akan bangkit kembali sebagai satu parti yang penting dalam negara ini.”
Katanya, UMNO terlalu banyak jasanya malah di Selangor sendiri telah menyaksikan pelbagai perubahan yang banyak dicorakkan oleh parti ini.
“Kita terima setiap apa yang telah berlaku setelah melalui perjuangan yang panjang dan sekarang kita telah bersedia untuk berdepan apa-apa keadaan sekalipun atas nama maruah perjuangan dan kita tidak bekerjasama kerana kita tak mahu dikhianati,” katanya.
Jelas beliau, anggota akar umbi UMNO tidak pernah malu untuk meneruskan perjuangan sekalipun tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu malah menanam tekad untuk PRU akan datang.
Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada September lalu telah menetapkan bahawa tarikh persidangan cawangan diadakan pada 15 Oktober hingga 30 November ini, manakala Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian diadakan pada 11 Disember dan 12 Disember 2021 serta Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 18 Disember 2021.
Perhimpunan Agung UMNO 2021 dijadualkan akan diadakan pada 13 hingga 15 Januari 2022. – UMNO ONLINE