PRN Melaka: UMNO Tidak Akan Terburu-Buru, Umpama Tarik Rambut Dalam Tepung – Azhari

KUALA LUMPUR, 26 Okt – UMNO sebagai sebuah parti yang berpengalaman lebih 70 tahun tidak akan terburu-buru untuk bersama parti mana di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, demikian pandangan Ketua UMNO Shah Alam, Datuk Azhari Datuk Shaari.

Baginya pucuk pimpinan parti sudah tentu akan membuat keputusan yang terbaik dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum sesuatu keputusan besar untuk dilaksanakan.

“Pada saat politik didominasi pemikiran baharu disebabkan letusan media sosial sudah pasti kepimpinan parti akan mendapatkan pandangan semua pihak sebelum membuat sebarang ketentuan.

“Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) akan menetapkan strategi untuk mengatur langkah tersusun ibarat menarik rambut daripada dalam tepung,” katanya kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Malah tambah beliau lagi pada ketika ini sedang berlangsung mesyuarat di peringkat Cawangan sudah pasti ianya saat terbaik untuk ahli parti melontarkan cetusan demi memperkukuhkan lagi parti.

“Pada saat akar umbi sedang mengadakan mesyuarat Cawangan masing-masing, sudah pasti ia menjadi wadah untuk memperkuatkan parti dengan cetusan idea dari ahli-ahli.

“Sebagai pemimpin akar umbi kita serahkan segala keputusan kepada pucuk pimpinan. Cakap-cakap dari pemimpin luar parti tidak perlu difikirkan sangat kerana agenda kita jelas untuk mewujudkan kerajaan negeri yang mampu membantu rakyat dengan berkesan.

“Selagi kita boleh berunding kita akan melakukannya kerana fokus kita sebagai pembela nasib rakyat yang terhimpit akibat baru pulih daripada kesan pandemik COVID -19. Yang penting jangan rambut putus tepung berselerak,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit