PRN: Rakyat Harapkan UMNO/BN Kembali Tadbir Melaka – Latipah Omar

MASJID TANAH, 25 Okt – Ketua Wanita UMNO Melaka, Datuk Latipah Omar berkeyakinan rakyat akan memilih Barisan Nasional (BN) kembali untuk mentadbir negeri berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya, ini kerana ketika kunjungan beliau ke rumah-rumah penduduk mereka menyatakan sokongan kepada pemimpin parti bagi memimpin negeri berkenaan.

“Kita mengalu-alukan pengundi yang kasih dan sayangnya kepada UMNO ini untuk keluar beramai-ramai bagi memastikan kita berjaya kembalikan Melaka ke arah pemerintahan BN.

“Momentum yang kita tengok semasa melawat dari rumah ke rumah sebelum prosedur operasi standard (SOP) ini diperkenalkan rata-ratanya mereka menyokong penuh kepimpinan UMNO untuk bertanding solo.

“Bagi saya itu adalah penting kerana kita ikut ketetapan yang dibuat oleh Perhimpunan Agung UMNO yang kita tidak akan bersama dengan PPBM itu kenyataan,” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.

Sementara itu beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Masjid Tanah berkata jentera Jalinan Rakyat (JR) terus diperkasa dengan mendekati rakyat memastikan mereka menjalankan tanggungjawab sebaiknya pada hari pengundiaan kelak.

“Wanita UMNO Negeri Melaka melibatkan enam bahagian bertanggungjawab untuk memastikan kali ini pengundi-pengundi di bawah jagaan kita keluar mengundi.

“Maknanya kerja-kerja JR ini kita telah laksanakan begitu lama lagi pun kita telah kenal pasti pengundi yang boleh membawa kepada kejayaan terutamanya untuk PRN Melaka ini

“Insya-Allah tugas tanggungjawab JR telah diperkasakan dan mereka telah mengenalpasti pengundi putih untuk dibawa keluar sehingga tamat mengundi iaitu pada sebelah petang, jadi saya berkeyakinan penuh Melaka akan kembali ditadbir BN,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.