Penolakan Terhadap PPBM Keputusan Akar Umbi, Diputuskan Dalam Perhimpunan Agung UMNO

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri membidas dakwaan kononnya keputusan untuk tidak bekerjasama dengan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) merupakan pandangan peribadi Presiden UMNO.

Hakikatnya tegas beliau kenyataan Presiden UMNO adalah cerminan ketetapan perwakilan secara sebulat suara di Perhimpunan Agong UMNO pada 28 Mac 2021 yang jelas tidak mahu sebarang kerjasama politik diadakan dengan PPBM dalam pilihan raya akan datang.

“Asas penolakan akar umbi kepada PPBM adalah jelas bahawa UMNO di semua peringkat tidak dapat menerima untuk bekerjasama dengan pihak yang mengkhianati perjuangan dan berterusan melakukan usaha untuk melemahkan parti UMNO yang sekian lama menjadi tunjang perjuangan umat Melayu Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian berikutan dakwaan dangkal kenyataan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PN, Datuk Seri Azmin Ali yang tidak benar.

“Kenyataan seperti tidak menghormati hal ehwal dalaman UMNO dan semata mata melancarkan perang psikologi bagai ‘mencurah minyak atas bara api’ dan berusaha melaga lagakan UMNO supaya dilihat berpecah belah.”

Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan akur dengan sebarang keputusan parti jika ada sebarang perubahan dasar untuk mengadakan kerjasama politik dengan sesiapa sahaja.

“Namun sebagaimana peruntukan Perlembagaan UMNO, sebarang ketetapan Perhimpunan Agung UMNO hanya boleh dirombak dengan kembali semula kepada perwakilan untuk membuat keputusan baharu khususnya mengenai hubungan kerjasama dengan PPBM dalam pilihan raya,” katanya lagi.

Terdahulu, dilaporkan Azmin dalam pertemuan dengan jentera PN Parlimen Masjid Tanah baru-baru ini berkata meskipun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menegaskan tidak akan bekerjasama dengan PPBM, namun itu hanya pandangannya kerana akar umbi UMNO mahukan sebaliknya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit