PRN: Jentera JR Teruskan Khidmat Menangkan BN, Patuhi SOP – Noraini

MASJID TANAH, 23 Okt – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berharap jentera Jalinan Rakyat (JR) menumpukan gerak kerja sebaiknya dalam memberikan keyakinan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Namun menurut beliau meskipun fokus mendepani pilihan raya ini mereka diharap tidak alpa dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan COVID-19.

“Saya harapkan Wanita bekerja bersungguh-sungguh dengan penuh dedikasi dengan mengambil kira SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan dalam meraih undi untuk mengembalikan keyakinan rakyat untuk menyokong BN di dalam PRN Melaka ini.

“Jadinya besarlah harapan saya untuk masing-masing dapat menumpukan penuh perhatian untuk memenangkan BN,” katanya.

Sementara itu, beliau mengharapkan rakyat di negeri ini mengambil tindakan bijak dengan memilih calon daripada BN berdasarkan pengalaman yang dimiliki oleh parti ini.

“Saya harapkan pengundi di Melaka ini melihat track record yang telah dilakukan oleh BN ketika mentadbir negeri ini.

“Berikan undi tersebut kepada BN insya-Allah kita akan melaksanakan dan mengatakan apa juga janji yang akan diberikan oleh BN Melaka,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Majlis Pelancaran Jentera JR PRN Melaka yang turut dihadiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Ketua Wanita UMNO Melaka, Datuk Latipah Omar dan kepimpinan Wanita.

Terdahulu dalam ucapannya beliau turut mengajak Wanita UMNO untuk terus kukuh berjuang demi parti dan mengenepikan perbezaan.

“Hari ini adalah hari yang sangat penting buat kita semua kerana pada hari ini kita kumpulkan semua kekuatan dimiliki.

“Ketepikan semua sengketa dan perbezaaan, kita satukan jiwa dan perasaan agar sepakat sepasukan demi memastikan kemenangan PRK ini tercapai.

“PRN ini kita harapkan kemenangan berpihak kepada rakyat di bawah panji UMNO/ BN yang pasti kita yakinkan kepada rakyat bahawa UMNO ini adalah parti keramat yang kekal teguh membela mereka,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit