PRN Melaka: Tarikh Mengundi 20 Nov, Penamaan Calon 8 Nov

MELAKA, 18 Okt – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 Nov sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya berkenaan ditetapkan pada 8 Nov manakala pengundian awal pada 16 Nov.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung pilihan raya negeri itu di sini hari ini.

Melaka mempunyai 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Abdul Ghani berkata bagi tujuan PRN berkenaan, SPR telah melantik seramai 28 pegawai pengurus pilihan raya dan dibantu oleh 80 penolong pegawai pengurus pilihan raya.

“Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh berkempen, SPR telah menubuhkan 28 pasukan petugas kempen pilihan raya yang dianggotai wakil Polis Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dan wakil-wakil calon yang bertanding,” katanya.

Beliau berkata daftar pemilih yang digunakan bagi PRN Melaka adalah Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahun Kedua 2021 (ST2/2021) yang dikemas kini sehingga 3 Okt 2021.

Daftar pemilih itu mengandungi seramai 495,196 pengundi dan SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi bagi PRN berkenaan adalah sebanyak 70 peratus.

Menurut Abdul Ghani daftar pemilih tersebut membabitkan 482,550 pengundi biasa; 10,191 anggota tentera dan pasangan; 2,349 anggota polis dan 106 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) pada PRN Melaka nanti, Abdul Ghani berkata pihaknya akan memberi cadangan masa keluar mengundi menerusi sistem SPR bagi mengurangkan kehadiran pengundi yang ramai pada hari mengundi.

“Kita akan beri cadangan masa keluar mengundi melalui sistem kita seperti yang digunakan di aplikasi MySejahtera. Pengundi juga usah keluar mengundi serentak pada sebelah pagi. Kalau boleh, warga emas sebelah pagi dan tengah hari sikit untuk orang muda.

“SOP kita di pusat mengundi juga ketat. Syarat-syarat seperti dah lengkap dua dos vaksin, memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal. Justeru kita merayu agar semua pengundi lengkapkan vaksin dahulu.. kita ada masa lagi,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata garis panduan berkaitan COVID-19 akan berpandukan kepada pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari semasa ke semasa.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit