PRN Melaka: Jentera Mula Digerakkan Sementara Tunggu Pengumuman Rasmi SPR

MASJID TANAH, 16 Okt – UMNO Bahagian Masjid Tanah telah mula mengerakkan jenteranya sehingga ke peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) biarpun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka akan membuat pengumuman mengenai Pilihan raya Negeri (PRN) Melaka Isnin ini.

Ketuanya Datuk Seri Ab Raof Yusoh berkata pihaknya mengambil langkah sedemikian sebagai persediaan bagi memastikan kelancaran di semua peringkat sekiranya SPR mengumumkan PRN pada bila-bila masa.

“Di kawasan Masjid Tanah kita mempunyai 30 PDM dan insya-Allah masing-masing jentera pelbagai peringkat dilihat cukup bersemangat walaupun SPR dijangka bermesyuarat Isnin ini,” katanya pada sidang media selepas program penyerahan komputer riba kepada UMNO Cawangan Masjid Tanah Kampung Pulau semalam.

Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan serta pimpinan UMNO setempat yang lain.

Ab Raof yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri seterusnya percaya jentera parti di seluruh negeri sudah pasti akan mengutamakan parti dengan memperkukuhkan peringkat masing-masing.

“Kita bekerja untuk UMNO dan apa pun kita tetap utamakan dan memikirkan kepentingan kekuatan parti kita dahulu sebelum kita mahu mengambil kira berkongsi dengan sesiapa sekali pun.

“UMNO mesti memperkukuhkan kedudukan atau kekuatan parti itu sendiri dahulu barulah kita boleh melihat siapa yang bakal daaing berunding dengan kita.

“Setakat hari ini insya-Allah semangat gerak kerja di peringkat perhubungan sehinggalah ke kawasan PDM kita telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri ini. Soal calon, kerjasama dan sebagainya lagi akan difikirkan selepas SPR membuat pengumuman dan kita ada masa yang cukup panjang,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit