PBB Malaysia Ucap Tahniah Malaysia Dipilih Sebagai Ahli Majlis Hak Asasi Manusia
Malaysia pada Khamis dipilih sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk penggal 2022-2024 dengan memperoleh 183 undi untuk menduduki satu daripada 18 kerusi.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, PBB di Malaysia juga mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Malaysia kerana dipilih buat kali ketiga dan atas ikrar serta komitmennya.
“Kami mengalu-alukan komitmen Malaysia untuk meningkatkan kesedaran hak asasi manusia dalam kalangan semua pemegang taruh sebagai usaha nasional bagi merealisasikan hak pembangunan untuk semua, melindungi dan mempromosikan hak kebudayaan, terlibat dalam tindakan iklim, dan melancarkan tindakan nasional mengenai perniagaan serta hak asasi manusia,” menurut kenyataan itu.
PBB di Malaysia turut memuji komitmen kerajaan di bawah tema “Unity for Humanity” untuk memenuhi kewajibannya berdasarkan instrumen hak asasi manusia seperti Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC), Konvensyen Penghapusan Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), dan Konvensyen mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD).
Selain itu PBB di Malaysia juga akan terus menyokong usaha Malaysia sepanjang proses Kajian Berkala Sejagat (Universal Periodic Review).
Menurut kenyataan itu Matriks Pemantauan yang disusun untuk konvensyen hak asasi manusia yang berkaitan di samping Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), adalah kerangka amat penting.
PBB juga bersedia untuk menyokong kerjasama Selatan-Selatan dan perkongsian pengalaman serantau dan selainnya, berdasarkan interaksi Malaysia baru-baru ini dengan pelapor khas mengenai Kemiskinan Ekstrem dan Hak Asasi Manusia, Hak Asasi Manusia untuk Air Minum dan Sanitasi yang Selamat, Hak Kebudayaan serta Penjualan dan Eksploitasi Seksual Kanak-kanak.
Ini adalah kali ketiga Malaysia menduduki kerusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB. Kali pertama adalah pada 2006-2009 dan kedua bagi penggal 2010-2013.
Majlis Hak Asasi Manusia PBB adalah badan antara kerajaan yang dianggotai 47 anggota yang bertanggungjawab untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia secara menyeluruh. – BERNAMA