Masa Untuk Kurangkan Kebergantungan Kepada Pekerja Asing

1. Antara perkara positif yang kita dengar sepanjang episod pandemik COVID-19 bermula seawal Januari 2020 sehingga kini adalah betapa syarikat-syarikat mega pengeluar sarung tangan terus menerus mencatatkan keuntungan yang sangat besar.

2. Di sebalik cerita kesempitan, kesengsaraan dan penderitaan banyak pihak, kebanyakan syarikat ini dan para pemilik mereka mendapat durian runtuh dan muncul sebagai bilionair baharu negara kita. Sehingga kini mereka semua dijangkakan akan terus merekodkan keuntungan besar berlipat kali ganda untuk tahun-tahun mendatang. Ada yang sampai merekodkan pertumbuhan tertinggi dalam sejarah melepasi syarikat petroleum negara.

3. Bagi tahun kewangan 2020 (berakhir pada 31 Ogos 2020), Top Glove misalnya, telah meraih keuntungan bersih berjumlah RM1.79 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 384% daripada tahun kewangan 2019 (RM0.37 bilion). Bagi tahun kewangan 2021 (berakhir pada 31 Ogos 2021), syarikat tersebut meraih keuntungan bersih berjumlah RM7.87 bilion iaitu peningkatan sebanyak 350% daripada tahun kewangan 2020.

4. Manakala, pada tahun kewangan 2021 (berakhir 31 Mac 2021), Hartalega Holdings Berhad meraih keuntungan bersih sebanyak RM2.9 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 568.4% daripada tahun kewangan 2020.

5. Dalam kes Kossan Rubber Industries Bhd, mereka dilaporkan meraih keuntungan bersih sebanyak RM1.06 bilion pada suku kedua 2021, iaitu peningkatan lebih daripada lapan kali ganda keuntungan bersih suku kedua tahun 2020 (RM131.06 juta). Malah, jumlah keuntungan bersih Kossan pada 6 bulan pertama 2021 (RM2.11 bilion) adalah lebih tinggi daripada jumlah keseluruhan keuntungan bersih mereka dua tahun sebelumnya : 2020 (RM1.08 bilion) dan 2019 (RM224.8 juta).

6. Maka wajarlah jika dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada tahun lalu, sesetengah syarikat ini tampil bersama-sama menyumbangkan kira-kira RM400 juta sebagai usaha memerangi pandemik. Ini adalah satu tindakan yang baik dan wajar dihargai.

7. Namun, semua itu sebenarnya sangat tidak memadai. Kita tidak seharusnya melihat siri-siri keuntungan besar ini sebagai satu urusan perniagaan dan ekonomi semata- mata. Sebaliknya, ini adalah satu asas dan penunjuk aras penting yang mewajarkan berlakunya beberapa perubahan pendekatan dan amalan perniagaan.

8. Kita semua maklum bahawa kebanyakan syarikat yang mencatatkan keuntungan lumayan ini sebahagian besarnya menggunakan hampir keseluruhan pekerja asing untuk beroperasi.

9. Menurut pengiraan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), terdapat 71,800 individu yang bekerja dalam industri sarung tangan getah di Malaysia pada tahun 2019. Daripada jumlah ini, hanya 39% (28 ribu orang) adalah warganegara Malaysia. Manakala baki 61% bersamaan 43,800 lagi adalah pekerja asing. Dengan kadar permintaan yang semakin meningkat, dijangkakan sektor ini memerlukan kira-kira 25,000 lagi pekerja tambahan.

10. Berbekalkan keuntungan yang berlipat kali ganda ini, sekarang adalah masa terbaik untuk semua syarikat mega ini mengambil langkah serius mengurangkan kebergantungan dan eksploitasi pekerja asing. Inilah masa untuk membuka lebih banyak ruang kepada bakat dan tenaga tempatan dengan lebih radikal.

11. Segala keuntungan lumayan yang dinikmati selama ini harus menjadi pendorong, malah pendesak kuat, untuk syarikat-syarikat besar ini menyumbang kepada negara dengan cara yang lebih bersepadu selain jalan cukai, sumbangan melalui CSR dan lain-lain.

12. Dan ia boleh dimulakan dengan mengurangkan kebergantungan besar-besaran kepada pekerja asing.

Kos Meningkat Bukan Alasan

13. Memandangkan keuntungan dan laba perolehan yang dikaut selama ini sangat besar dan lumayan, peningkatan kecil kos operasi kerana mengurangkan pekerja asing dan mengutamakan bakat serta warga tempatan tidak boleh menjadi alasan untuk tidak melakukannya.

14. Ia harus dilihat sebagai agenda nasional atau national service oleh syarikat-syarikat ini. Malah, dalam konteks polisi, tidak pelik kalau ikhtiar mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing ini dilihat sebagai satu bentuk harm reduction policy kepada ekosistem ekonomi Malaysia.

15. Kita mungkin tidak boleh menyekat dan mengetepikan pekerja asing sepenuhnya. Namun sekurang-kurangnya syarikat-syarikat dengan keuntungan ratusan juta ini boleh memulakan langkah untuk mengutamakan pekerja dan bakat tempatan.

16. Saya sangat berharap yang syarikat-syarikat tempatan yang mengumpul kekayaan besar di negara kita ini akan lebih berjiwa besar. Pastikanlah segala kemewahan dan kemakmuran negara yang dikaut selama ini dikongsikan dengan cara yang lebih bermakna dan menyeluruh dengan menggaji lebih ramai pekerja tempatan.

17. Saya yakin, sekiranya syarikat-syarikat pengeluaran di negara kita menawarkan insentif yang baik seperti gaji yang bermaruah, manfaat perubatan dan kesihatan yang munasabah, peluang latihan yang berkualiti, keseimbangan alam pekerjaan dan kehidupan, ramai sahaja anak tempatan yang mahu menyertai industri pembuatan dan pengilangan. Malah, segala industri yang lain. – UMNO ONLINE

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.