Rancangan Malaysia Ke-12 Selari Strategi Pembangunan Negara

Walaupun rancangan pembangunan penting ini telah ditunda beberapa kali, akhirnya Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) untuk tahun 2021 – 2025 telah dibentangkan. Secara keseluruhannya, hala tuju RMK-12 yang berteraskan konsep Keluarga Malaysia yang makmur, inklusif dan mampan adalah jelas dan selari dengan pelbagai strategi pembangunan Malaysia selama ini. Setiap Rancangan Malaysia mesti memastikan setiap rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah menikmati manfaat yang terbaik dan tidak tercicir dari arus pembangunan negara.

Saya mempunyai beberapa pemerhatian yang mungkin boleh diambil kira oleh Kerajaan dalam merealisasikan RMK-12 ini.

Pertamanya, rancangan ini hanya mempunyai masa 4 tahun untuk dilaksanakan. Kerajaan wajar menjelaskan bagaimana RMK-12 ini akan dibiayai. Rancangan yang baik hanya akan menghasilkan impak terbaik dengan pembiayaan yang mapan. Dalam keadaan hasil mahsul negara sangat terkesan akibat pandemik, hutang negara hampir mencecah 65 peratus GDP dan pertumbuhan yang terencat semenjak dua tahun lepas, maka kejayaan RMK-12 sangat bergantung kepada pembiayaannya. Ketelusan tentang bagaimana rancangan ini akan dibiayai, akan menjadikan RMK-12 bukan sahaja realistik tetapi mempunyai daya kebolehlaksanaan.

Kedua, amat penting untuk Kerajaan mengambil kira bahawa impak pandemik telah menghapuskan pelbagai status quo dalam pencapaian ekonomi dan kehidupan masyarakat kita. Malaysia telah kehilangan hampir 2 tahun yang produktif, di samping kesusutan luar biasa golongan kelas menengah, penggandaan golongan miskin mutlak dan tegar, kehilangan daya saing pelbagai sektor ekonomi serta kelohongan jelas dalam pelbagai sistem kesihatan, pendidikan dan sosial. Justeru, rancangan ini mesti dilaksanakan dengan mengambil kira semua kesusutan ini. Ia mesti diselarikan dengan strategi pemulihan untuk mengembalikan semula status quo Malaysia sebelum lonjakan sewajarnya disasarkan. Pada perkiraan kasar saya, Malaysia telah mengalami kesusutan nilai pembangunan sebanyak 5 ke 8 tahun ke belakang dalam senario kes terburuk. Contohnya, penengah gaji dan upah yang mengambil kira kesan inflasi menyusut lebih daripada 5 tahun ke belakang akibat krisis ekonomi kini. Mampukan Malaysia mengembalikan semua kehilangan ini dalam masa 4 tahun akan datang?

Ketiga, strategi mengurangkan jurang ekonomi dalam negara adalah sangat penting. Pelbagai negeri dan wilayah dalam Malaysia mempunyai kesenjangan yang sangat ketara. Oleh itu, strategi pembangunan untuk Sabah dan Sarawak wajar lebih radikal. Ia adalah wilayah yang menyumbang hasil mahsul yang besar kepada negara dan mempunyai kawasan geografi yang sangat meluas dan jurang keberadaan yang sangat kritikal. Namun ia juga mempunyai potensi luar biasa terutama dari segi ekonomi dan sumber asli. Dengan pelaburan dan peruntukan berganda, Sarawak dan Sabah boleh menjadi ‘the new economic powerhouse’ untuk Malaysia. RMK-12 masih lagi dengan paradigma biasa dalam perancangannya untuk Sabah dan Sarawak.

Keempat, penyediaan infrastruktur terus menjadi strategi penting RMK-12. Penekanan terhadap pelbagai infrastruktur digital adalah sangat bertepatan. Namun tiada projek prasarana baru berskala mega yang diperkenalkan dalam rancangan kali ini. Pembangunan pelbagai mod sistem rel nasional berskala mega seharusnya diperkenalkan kerana pelbagai daerah dan wilayah dalam Malaysia masih lagi tidak terhubung dengan pengangkutan berkelajuan tinggi. Bandaraya utama seperti Johor Bahru dan Pulau Pinang masih lagi tidak terhubung dengan Kuala Lumpur dan Singapura melalui sistem rel berkelajuan tinggi. Prasarana termaju akan menjadi asas kepada ekonomi yang moden dan masyarakat yang maju. Pembiayaan secara besar-besaran dalam sektor ini adalah sangat strategik.

Kelima, dari segi penjagaan kesihatan, pemodenan sektor kesihatan negara seharusnya melangkaui pelaburan infrastruktur fizikal termasuk pembinaan lebih banyak hospital serta menaiktaraf kualiti hospital nasional. Tambahan pula, Kerajaan perlu memperuntukkan dana lebih besar untuk melipatgandakan latihan kepakaran, memperkenalkan sistem pembiayaan kesihatan yang lestari, mengupayakan pelbagai penyelidikan kesihatan serta memperhebat strategi pencegahan penyakit. Tuntasnya, sektor kesihatan perlu menjadi asas keutamaan dalam setiap perancangan dan belanjawan negara. Kesejahteraan Keluarga Malaysia hanya akan direalisasikan apabila kesihatan warganya menjadi keutamaan nasional.

Keenam, RMK-12 tidak memberikan penekanan yang wajar dan penting kepada sektor pertanian, penternakan, kelautan dan makanan negara. Sewajarnya ia menjadi dokumen yang mencetuskan satu revolusi pertanian dan perikanan yang sangat diperlukan oleh Malaysia. Potensi sektor pertanian dan maritim Malaysia tidak terletak dalam radar penting keutamaan pembangunan negara sedangkan Malaysia mempunyai sumber asli yang besar dan kaya. Agenda sekuriti makanan negara dapat wajar dikukuhkan dengan memacu FELDA sebagai peneraju pertanian pintar dan pengeluaran makanan negara, di samping mengurangkan kebergantungan terhadap industri kelapa sawit. Penerokaan ekonomi maritim wajar menjadi keutamaan kerana sumber kekayaan Laut China Selatan itu sangat besar sehingga ia menjadi medan sengketa wilayah pelbagai negara kerana kekayaannya.

Dan terakhir, segi kedudukan fiskal negara pula, RMK-12 sepatutnya menerapkan usaha konsolidasi fiskal terutamanya menjelang tahun 2024 dan 2025. Hal ini penting disebabkan baki fiskal kepada KDNK tahun 2020 sebanyak -6.2% jauh terpesong dari sasaran RMK-11 sebanyak 3.0%. Dalam jangka masa sederhana semasa ekonomi negara semakin pulih, kerajaan perlu komited terhadap reformasi cukai. Hal ini termasuk melebarkan asas cukai dengan mempertimbangkan perlaksanaan semula cukai kepenggunaan dengan mereka bentuk cukai GST yang lebih progresif.

Pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi yang melanda telah menjejaskan trajektori pertumbuhan sosioekonomi negara. Akibatnya, hanya satu daripada enam matlamat pembangunan sosioekonomi pelbagai dimensi RMK-11 telah dicapai. Justeru bagi RMK-12, setiap rakyat Malaysia perlu berganding bahu dan berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan negara ke landasan pembangunan sosioekonomi yang mampan, demi merealisasikan impian ‘Malaysia Utuh, Masyarakat Kukuh’.


Dato Seri Utama Mohamad bin Haji Hasan

Recent Posts

Banyak Perkara Boleh Dipelajari Dari PRN Melaka, Rakyat Mahu Kerajaan Stabil – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Mereka yang tidak keluar untuk membuang undi dalam mana-mana pilihan…

2 jam lalu ago

Undi18: Pendaftaran Automatik Berkuat Kuasa 15 Dis

KUALA LUMPUR, 2 Dis - Pendaftaran secara automatik pengundi berusia 18 tahun ke atas telah…

4 jam lalu ago

Puteri UMNO Minta Kerajaan Lakukan ‘Sesuatu’ Kawal Harga Barang, Rakyat Masih Terkesan COVID-19

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, kenaikan…

5 jam lalu ago

Isu Perkahwinan Bawah Umur Bakal Dikupas Di Dewan Rakyat Hari Ini

KUALA LUMPUR, 2 Dis - Isu berhubung usaha membanteras perkahwinan bawah umur dalam negara dijangka…

5 jam lalu ago

Jumaat, 3 Dis Cuti Bagi Wilayah Persekutuan

PUTRAJAYA, 1 Dis - Jumaat (3 Dis) diisytiharkan sebagai Hari Kelepasan Am Tambahan di seluruh…

18 jam lalu ago

Tiada Varian Omicron Dikesan Melalui Kajian Penjujukan Genom Setakat Ini – Dr Adham

KUALA LUMPUR, 1 Dis - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengesahkan tiada varian Omicron…

18 jam lalu ago