Kes Bunuh Adib: Pemuda UMNO Tuntut Ketelusan Siasatan, Pengiktirafan Allahyarham Sebagai Wira Negara

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Pemuda UMNO mendesak agar Kerajaan melalui Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara (AG) untuk memberikan penjelasan secara telus dan terbuka mengenai kemajuan siasatan kes pembunuhan anggota bomba, Allahyarham Adib Kassim yang menjadi sejarah hitam negara.

Tegas ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, rakyat dan keluarga Allahyarham berhak untuk mengetahui bagaimana siasatan yang dijalankan sebegitu lama gagal membawa suspek-suspek ke muka pengadilan.

“Sudah tiba masanya juga pihak Kerajaan untuk memberikan pengiktirafan kepada Allahyarham Adib selaku wira negara selain bayaran pampasan yang munasabah kepada pihak keluarga sebagai satu bentuk penghormatan atas jasa dan pengorbanan Allahyarham yang melaksanakan amanah negara hingga mengorbankan nyawa,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit menerusi laman facebooknya hari ini.

Terdahulu Dr Asyraf menjelaskan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah meneliti kenyataan YB Datuk Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi baru-baru di sebuah majlis di Ampang bahawa kes penyiasatan pembunuhan Allahyarham Adib Kassim ditutup sementara.

“Menurut laporan media, Ahli Parlimen Ampang itu juga berkata kes ini akan dibuka semula sekiranya wujud keterangan, maklumat dan bukti-bukti baharu dan komited untuk ‘terus mencari siapa yang telah menyebabkan kematian Adib’.

“Kenyataan YB Datuk Zuraida Kamaruddin ini sekaligus mengesahkan dapatan Mahkamah Koroner pada 26 September 2019 bahawa anggota bomba itu terkorban akibat perbuatan jenayah bunuh oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali berbanding dakwaan bekas Peguam Negara Tommy Thomas terdahulu,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit