Perkenalkan Program Bank-bank Biaya 70 Peratus Pembelian Saham Untuk Rakyat – Najib

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak mencadangkan kerajaan memperkenalkan program kepada bank-bank Malaysia agar membiayai 70 peratus daripada pembelian saham dengan kadar caj perkhidmatan sebenar sebanyak tiga peratus bagi setiap rakyat yang ingin membuat pelaburan dalam senarai saham yang telah disyorkan penganalisis kewangan dan dibenarkan.

Kata Ahli Parlimen Pekan itu dalam satu catatan di Facebook, ini samalah seperti skim pinjaman Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang sudah dilaksanakan sejak dahulu lagi.

“Rakyat mampu membina kekayaan secara jangka masa panjang apabila harga saham naik. Jika tidak naik pun, kadar dividen masih boleh membiayai kos faedah.

“Memandangkan pasaran saham melambangkan keyakinan dan kecergasan ekonomi, kerajaan perlu melaksanakan langkah yang mampu menambah keyakinan pelabur untuk menjadikan pasaran saham Malaysia lebih dinamik, lebih menarik dan lebih merangsang perhatian pelabur (we must make our stock market more dynamic, appealing and exciting),” kata bekas Menteri Kewangan itu lagi.

Jelasnya lagi, antara langkah-langkah yang boleh diambil termasuk menggantung sekali lagi ‘regulated short selling’ serta ‘script borrowing and lending’ sekurang-kurangnya selama enam bulan seperti dilaksanakan tahun lepas untuk menstabilkan pasaran saham dan melindungi pelabur runcit.

Begitu juga tambahnya, perlu dipercepatkan proses mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Sekuriti dalam semua urusan syarikat tersenarai.

“Saya mendapat maklumat bahawa tempoh kelulusan oleh Suruhanjaya Sekuriti pada masa ini memakan masa terlalu lama dan ini menjadi penghalang bagi syarikat-syarikat tersenarai tempatan untuk bergerak dengan lebih laju bagi aktiviti-aktiviti perkembangan perniagaan mereka. Jadi, proses ini perlulah disegerakan dan dipermudahkan,” gesanya.

Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) mengulas mengenai pasaran saham Malaysia pada tahun ini yang pernah menjadi kedua paling corot dalam dunia.

“Biarpun masih tertinggal sedikit kenaikan selepas kerajaan bertukar pada bulan lepas, Bursa Malaysia masih keenam paling corot dalam dunia tahun ini.

“Jadi saya percaya pasaran saham Malaysia adalah di bawah nilai (under valued) berbanding negara-negara lain pada ketika ini memandangkan ekonomi kita mula dibuka semula manakala harga komoditi keluaran Malaysia serta eksport barangan pembuatan negara masih kukuh.

“Ini juga bermaksud kita ada peluang untuk membolehkan seluruh rakyat Malaysia turut terlibat bersama-sama dalam pemulihan ekonomi kita,” ujarnya.

Menurutnya juga, pada ketika ini harga saham berada pada paras yang rendah, yang bermaksud ada banyak syarikat membayar dividen yang lebih tinggi berbanding caj perkhidmatan sebenar bank.

“Kadar cuma 1.9% setahun bagi Simpanan Tetap (FD) tiga tahun ketika ini manakala banyak saham-saham “bluechip” seperti Tenaga (4.1%), Maybank (5.6%) dan Top Glove (5.7%) diramal membayar dividen yang lebih tinggi,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.