Terima Kasih PM Segerakan GKP, Rakyat Juga Berharap Ada Bantuan Sewajarnya – Pemuda UMNO Kedah
ALOR SETAR, 19 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO Kedah menghargai langkah aktif kerajaan yang prihatin rakyat dengan menyalurkan segera bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang akan bermula pada 21 September 2021.
Kata Ketua Penerangannya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, bantuan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sangat bermanfaat memberi suntikan dana kepada lebih satu juta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang menghadapi situasi mencabar ekonomi semasa.
“Pemuda UMNO Kedah yakin suntikan dana itu dapat menyumbang lonjakan perniagaan dan kewangan dalam usaha negara pulih dari kesan rantaian wabak COVID-19 yang menjejaskan ekonomi domestik dan antarabangsa.
“Oleh kerana situasi yang masih tidak menentu dalam masa beberapa bulan akan datang, suntikan dana kerajaan adalah pelampung penyelamat yang dapat memberi nafas semula dalam mengatur strategi melangkah kehadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi, pada masa yang sama Pemuda UMNO Kedah juga berharap kerajaan atas semangat keluarga Malaysia mempertimbangkan permohononan tuntutan rakyat Pemuda UMNO Malaysia seperti pengeluaran sekaligus i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) minima RM10,000, bantuan khas segera kepada peniaga kecil, moratorium kepada pinjaman di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam serta beberapa perkara lain.
Selain itu beliau memohon kerajaan segera laksanakan cadangan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar memperkenalkan i-survive.
“Ini adalah cadangan yang baik bagi mempertingkatkan survival rakyat menghadapi situasi tekanan ekonomi kerana kehilangan pendapatan dan kekurangan pendapatan.
“Kerajaan harus memastikan rakyat terus ‘survive’ dan pada masa yang sama tunai di tangan akan memberi kesan berganda kepada ekonomi dan mewujudkan ‘safety net’ agar rakyat bersedia apabila ekonomi semakin pulih.
“Dan kerajaan juga harus memberi keyakinan ekonomi akan semakin baik dengan dasar fiskal yang utuh supaya rakyat berani berbelanja, serta kerajaan sendiri berani berbelanja,” cadangnya lagi.
Tambahnya lagi, Pemuda UMNO Kedah juga berharap kerajaan melihat bantuan menerusi Progam Subsidi Upah kepada PKS yang masih berlaku kelewatan pembayaran sehingga sekarang.
“Sudah lebih tiga bulan sejak dari pengumuman semasa era Perdana Menteri kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin lagi, sehingga hari ini lewat. Masih banyak permohonan berstatus dalam permohonan kelulusan.
“Mohon Perdana Menteri lihat mekanisme di Perkeso yang menyebabkan kelewatan berkenaan. Adakah mungkin kekurangan kakitangan untuk proses permohonan atau ada lain halangan yang menyebabkan banyak permohonan tertunggak.
“Kelewatan ini memberi tekanan kepada banyak majikan, yang situasi semasa menghalang ia beroperasi, tapi masih perlu membayar gaji pekerjanya,” katanya. – UMNO ONLINE