20 Cadangan Transformasi Parlimen, Demi Pulihkan Kestabilan Negara

KUALA LUMPPUR, 11 Sept – Ahli Parlimen Pontian yang juga Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan melontarkan 20 cadangan transformasi parlimen demi memulihkan kestabilan negara.

Beliau yang juga calon bagi jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat memberikan 20 cadangan seperti berikut :

1. Menyediakan setiap Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan / Backbenchers dan Pembangkang seorang pegawai penyelidik bagi membantu membuat kajian dasar, ucapan, soalan dan yang berkaitan dengan tugasan di Dewan Rakyat.

2. Mengemaskini Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat/Standing Orders agar lebih sesuai, terkini dan relevan dengan kehendak semasa.

3. Mewujudkan seorang lagi Timbalan Yang di-Pertua / Timbalan Speaker menjadikan tiga orang yang mana Timbalan Speaker ke-tiga dikhususkan untuk wakil Pembangkang. Sementara itu, satu daripada tiga Timbalan Speaker seeloknya daripada Sabah atau Sarawak.

4. Parlimen terlibat dengan aktif dalam memberi pendidikan demokrasi kepada seberapa ramai rakyat melalui seminar, wacana, pameran, dialog, lawatan dan libat urus/engagement.

5. Mewujudkan Program Parlimen Pelajar untuk mereka yang di Tingkatan 4 hingga 6 bagi menambah kepada Program Parlimen Belia dan Parlimen Mahasiswa yang ada sekarang. Penglibatan Wanita adalah sangat digalakkan dalam ketiga-tiga Program Parlimen itu. Langkah ini sesuai dengan Undi18.

6. Melanjutkan masa persidangan yang rasmi antara 10.00 pagi hingga 5.30 petang kepada 10.00 pagi hingga 6.30 petang. Tambahan sejam ini adalah bagi membolehkan Ahli Parlimen diberikan peluang masa yang cukup untuk berbahas. Ini tidak termasuk masa-masa tambahan hingga sebelah malam jika diperlukan. Menambah Masa Pertanyaan Menteri (MQT) daripada 30 minit pada hari Selasa dan Khamis kepada 40 minit.

7. Memastikan minima 12-15 soalan lisan dapat dijawab dalam masa 120 minit sesi pertanyaan dengan had sekitar masa 8-10 minit untuk setiap soalan. Ini bermakna sesi Pertanyaan Lisan ditambah daripada sejam setengah kepada dua jam.

8. Memastikan ucapan Ahli Parlimen untuk dasar penting diberikan sekurang-kurangnya 20-30 minit dan jika perlu tambahan sehingga ke sebelah malam bagi memenuhi keperluan 20 minit itu. Perbahasan penting adalah seperti Usul Titah Menjunjung Kasih Diraja, Belanjawan, Pindaan Perlembagaan, Rancangan Malaysia, RUU baru seperti Akta Pendanaan Politik dan seumpamanya.

9. Rang Undang-undang yang ingin dibentangkan hendaklah diberi minima 5 hari kepada Ahli Parlimen sebelum Rang Undang-Undang itu dibahaskan bagi membolehkan Ahli Parlimen cukup masa untuk membuat kajian dengan syarat kerahsiaan dan Embargo diletakkan.

10. Memperuntukkan RM60,000.00 setahun dengan kiraan RM5,000.00 sebulan kepada Ahli Parlimen Pembangkang dan Ahli Parlimen Bebas untuk menguruskan Pusat Khidmat di kawasan masing-masing. Peruntukan itu dianggar mencukupi untuk elaun dua staf dan sewa sebuah pejabat.

11. Mengadakan Hari Terbuka Kementerian secara berkala di Parlimen untuk Ahli Parlimen bertemu secara terus dengan Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-ketua Pengarah dengan penjadualan yang tersusun pada setiap kali sesi sidang.

12. Sesi Kamar Khas perlu ditambah waktu dan diadakan pada setiap hari pada sebelah petang dengan membenarkan Ahli Parlimen bertanya soalan tambahan dan disiarkan juga secara langsung oleh media perdana.

13. Mengadakan latihan pendedahan media sosial kepada Ahli Parlimen dan Kakitangan Ahli Parlimen dan juga latihan komunikasi, pengurusan, antarabangsa serta ilmu terkini yang relevan dari masa ke semasa.

14. Menambah bilangan Jawatankuasa Pilihan Khas yang meliputi pendidikan, agama, sosial, pekerjaan, perumahan, indeks gaji, gejala sosial, bisnes online, kesihatan, ekonomi, kewangan, pembangunan tanah, pelaburan, alam sekitar, mencari pendapatan baru kerajaan dan lain-lain yang sesuai.

15. Menyokong cadangan kerajaan untuk Transformasi Parlimen sebagaimana yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 10 September 2020, iaitu:-

i. Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen
ii. Pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik dalam tempoh terdekat. Justeru, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan.
iii. Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
iv. Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.
v. Setiap Rang Undang-Undang termasuk RUU Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujukan secara bersama.
vi. Ahli Parti Pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.
vii. Ketua Pembangkang diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri.

16. Setiap Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan / Backbenchers dan Pembangkang diberikan peruntukan khas untuk sesi Townhall/libat urus dengan rakyat dan pemegang taruh di kawasan bagi mendapatkan pandangan untuk isu pembangunan, kebajikan rakyat dan Rang Undang-Undang baru.

17. Mencadangkan agar Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas diberi elaun kehadiran mesyuarat atau apa-apa elaun khas dengan jumlah yang kecil namun munasabah dengan kekerapan mesyuarat yang sesuai.

18. Mencadangkan agar Sesi Dialog dengan rangkaian media arus perdana diadakan secara berkala melibatkan Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan / Backbenchers dan Pembangkang untuk memberikan pandangan mengenai isu-isu semasa.

19. Meletakkan adab dan tatasusila yang tinggi dalam perbahasan agar imej Parlimen dihormati pada pandangan rakyat bagi mengelakkan Parlimen dianggap sebagai “sarkas ahli politik”.

20. Menghidupkan kembali Akta Perkhidmatan Parlimen supaya Parlimen mempunyai autonomi daripada segi peruntukan, tanggungjawab, kebajikan kakitangan dan perjawatan.

DATUK SERI AHMAD BIN MASLAN
AHLI PARLIMEN PONTIAN

20 CADANGAN OLEH CALON TIMBALAN SPEAKER DEWAN RAKYAT (DS AHMAD BIN MASLAN)

Recent Posts

Banyak Perkara Boleh Dipelajari Dari PRN Melaka, Rakyat Mahu Kerajaan Stabil – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Mereka yang tidak keluar untuk membuang undi dalam mana-mana pilihan…

3 jam lalu ago

Undi18: Pendaftaran Automatik Berkuat Kuasa 15 Dis

KUALA LUMPUR, 2 Dis - Pendaftaran secara automatik pengundi berusia 18 tahun ke atas telah…

5 jam lalu ago

Puteri UMNO Minta Kerajaan Lakukan ‘Sesuatu’ Kawal Harga Barang, Rakyat Masih Terkesan COVID-19

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, kenaikan…

6 jam lalu ago