10 #TuntutanRAKYAT Solusi Ekonomi Jangka Pendek, Jamin ‘Safety Net’ Rakyat
Dalam teori asas ekonomi, pertumbuhan ekonomi negara berkadaran atau bergantung kepada 4 faktor utama iaitu; (1) Perbelanjaan Pengguna, (2) Pelaburan, (3) Perbelanjaan Kerajaan (G) dan (4) Net Eksport (Jumlah Eksport tolak Import).
Sebab itulah untuk memastikan ekonomi negara kembali dijana bagi tujuan memankinkan pertumbuhan ekonomi negara selepas negara berhadapan dengan pandemik covid-19 yang panjang, solusi jangka pendek dan panjang diperlukan untuk memastikan keempat-empat faktor penting di atas mampu dijana kembali.
KENAPA 10 #TuntutanRAKYAT PENTING UNTUK SOLUSI JANGKA PENDEK?
1. Menangani masalah safety net (jaringan keselamatan sosial rakyat).
Jutaan rakyat yang hilang punca pendapatan akibat Pandemik samaada diberhentikan kerja, dicutikan tanpa gaji, perniagaan lingkup dan pendapatan gaji hari yang terencat, menyebabkan perbelanjaan rakyat dan aliran tunai dalam ekonomi terjejas teruk.
Rakyat terdesak untuk bayar komitmen bulanan (sewa rumah, ansuran kereta, bil-bil utiliti, kad kredit dll), pada masa sama tertekan untuk penuhi tuntutan perut, keperluan dapur keluarga, keperluan persekolahan anak-anak (PdPR) dll.
2. Pendekatan sama dilakukan Amerika Syarikat
10 #TuntutanRakyat yang dicadangkan mampu menyelesaikan masalah safety net (jaringan keselamatan sosial rakyat). Malah tuntutan ini hampir sama dengan Pakej Rangsangan USD1.9 trilion yang diluluskan di bawah Joe Biden Presiden US awal bulan Mac
Antaranya termasuklah pemberian USD1400 kepada rakyat (naik daripada USD600), tambahan bantuan kepada perniagaan serta USD350b peruntukan khas bagi kerajaan negeri.
Membenarkan akses kepada dana-dana pencen rakyat (seperti KWSP) dengan had tertentu dan penangguhan bayaran ansuran agensi-agensi kredit dan sektor perbankan.
Justeru, 10 #TuntutanRAKYAT merangkumi suntikan fiskal tambahan kerajaan bagi menambah nilai BPN, BPR dan BKC, penambahbaikan i-Citra KWSP dengan minimum RM10,000 ‘one-off’, moratorium tanpa faedah terakru, moratorium LPPSA, bantuan tambahan kepada pengusaha SKS yang terjejas dan lain-lain hakikatnya mampu menangani keperluan jangka pendek rakyat untuk mengembalikan aliran tunai rakyat, menjana kembali ekonomi dan membina keyakinan pasaran agar rakyat mampu dan berani berbelanja.
APA SOLUSI EKONOMI JANGKA SEDERHANA DAN PANJANG?
Bagi memastikan keseimbangan dalam pertumbuhan agar tidak berlakunya inflasi akibat lambakan tunai semata-mata, kerajaan perlu lakukan beberapa strategi berikut:
1. Mencipta output dalam bentuk pakej infrastruktur awam.
Amerika Syarikat juga mengumumkan pembangunan baru dalam bentuk pakej infrastruktur awam bernilai USD 1 trilion pada bulan Julai, hampir sama dengan pengumuman pakej rangsangan.
Ini juga dilakuan pada zaman Datuk Seri Najib Razak ketika BN memerintah, yang mana BR1M diisytiharkan setiap tahun pada masa sama diumumkan juga projek-projek infrastruktur berskala mega seperti Lebuhraya Pan Borneo, kemudiaan tahun berikutnya diumumkan projek ECRL, tahun seterusnya High Speed Rail KL -Singapore, kemudian Bandar Malaysia, kemudian MRT, kemudian LRT3.
Semua projek mega ini mempunyai kesan gandaan ekonomi yang besar (multiplier effect) yang memangkinkan pertumbuhan ekonomi dengan cepat.
2. Mencipta peluang-peluang pekerjaan
Projek-projek infrastruktur awam berskala mega juga mampu mencipta peluang-peluang pekerjaan secara langsung mahupun tidak langsung melalui pelbagai industri hiliran yang tercipta di lokaliti yang terbabit dengan pembangunan tersebut.
3. Menyediakan ekosistem perniagaan yang ‘friendly’ dan mudah
Di samping projek-projek infrastruktur mega, kerajaan juga harus menyediakan ekosistem yang baik dan mudah untuk membolehkan anak-anak muda berkecimpung dalam bidang perniagaan termasuk ‘online business’.
Mengkaji semula sistem percukaian termasuk insentif cukai yang diberikan kerajaan kepada golongan usahawan amat membantu peniaga terutamanya di kalangan SKS untuk memulakan kembali perniagaan selepas pandemik.
Semua agensi-agensi kerajaan yang menawarkan pelbagai geran dan latihan perlu digemblengkan dan diselaraskan kembali agar wujud sinergi yang berkesan untuk membolehkan usahawan-usahawan baru mendapat bantuan yang efektif.
Kesimpulannya, 10 #TuntutanRAKYAT adalah suatu solusi ekonomi jangka pendek yang penting untuk menyantuni keperluan mendesak rakyat yang amat tertekan, susah dan gelisah untuk meneruskan kelangsungan hidup ketika ini.
Namun, kerajaan juga wajar mengimbanginya dengan solusi jangka sederhana dan panjang agar tidak berlakunya inflasi, malah mampu menjana pertumbuhan ekonomi yang berkesan dalam mengharungi bahana pandemik. Lebih parah jika berlakunya stagflasi lantaran aliran tunai yang terjejas sehingga rakyat tidak mampu berbelanja, pada masa sama inflasi pula melanda.
DATUK DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
Ketua Pemuda UMNO