Kerajaan Tumpu Usaha Pacu Kuasa Beli Pengguna, Perkasa Sektor Swasta – PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Kerajaan akan menumpukan usaha mencapai dua objektif utama bagi meningkatkan semula ekonomi negara termasuk mengembalikan kesejahteraan rakyat seiring dengan usaha meningkatkan kuasa beli pengguna.

Ketika berkongsi matlamat itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata objektif seterusnya adalah menumpukan usaha mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara bagi mengurangkan kesan ekonomi berpanjangan berikutan pandemik COVID-19.

“Krisis pandemik ini telah memberi kesan yang sangat serius dan menyeluruh kepada ekonomi dunia, termasuk ekonomi domestik negara kita. Pelbagai sektor industri, terutamanya perniagaan kecil dan sederhana juga sangat terkesan.

“Ada yang masih bergelut dan ada yang (terpaksa) gulung tikar. Ini memberikan impak yang besar kepada ekonomi rakyat serta negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan sulung beliau sebagai perdana menteri kesembilan yang disiarkan secara langsung menerusi kaca televisyen dan media sosial di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Ismail Sabri menegaskan bahawa tumpuan usaha kerajaan baharu adalah kalangan rakyat yang kehilangan pekerjaan dan mata pencarian, golongan berpendapatan sederhana, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor perindustrian termasuk industri pelancongan domestik.

“Fokus ini merupakan sebahagian daripada inisiatif jangka pendek untuk mengembalikan ekonomi rakyat khususnya dan menjana ekonomi negara secara menyeluruh.

“Saya juga akan memastikan tiada mana-mana rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan kaum yang tercicir atau terpinggir,” katanya.

Malah, jelas perdana menteri, usaha berkenaan tidak terhenti setakat itu sahaja kerana kerajaan akan terus bekerja bersama rakyat untuk membangunkan strategi baharu ekonomi bagi melaksanakan beberapa perubahan mendasar.

“Secara keseluruhannya adalah bertujuan memperkukuh asas ekonomi negara dan mengembalikan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Menurut beliau, seiring usaha mencapai objektif dan fokus tersebut, aspek penglibatan anak muda amat diperlukan dalam menjayakan agenda pemulihan negara.

Justeru, perdana menteri memberi jaminan bahawa suara golongan itu akan didengari serta turut diberi tumpuan dalam kerajaan baharu tersebut.

“Kepada anak muda di luar sana…jangan risau, penglibatan anda semua amat dihargai dan saya mengharapkan anda bersama dengan kerajaan ini untuk menjayakan agenda besar pemulihan negara,” katanya. – BERNAMA

 

Recent Posts

Banyak Perkara Boleh Dipelajari Dari PRN Melaka, Rakyat Mahu Kerajaan Stabil – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Mereka yang tidak keluar untuk membuang undi dalam mana-mana pilihan…

3 jam lalu ago

Undi18: Pendaftaran Automatik Berkuat Kuasa 15 Dis

KUALA LUMPUR, 2 Dis - Pendaftaran secara automatik pengundi berusia 18 tahun ke atas telah…

5 jam lalu ago

Puteri UMNO Minta Kerajaan Lakukan ‘Sesuatu’ Kawal Harga Barang, Rakyat Masih Terkesan COVID-19

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, kenaikan…

6 jam lalu ago