Bangga Prinsip Ditunjukkan Noraini Ahmad, Akur Kehendak Parti Berbanding Imbuhan Jawatan – Sharifah Maznah

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Wanita UMNO Kedah mewakili seluruh barisan jawatankuasa perhubungan wanita negeri, saf pimpinan di peringkat bahagian dan seluruh ahli wanita cawangan wanita UMNO di negeri mengucapkan penghargaan dan tahniah di atas prinsip yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Ketuanya, Datuk Sharifah Maznah Syed Kassim berkata perletakan jawatan selaku Menteri Pengajian Tinggi berkuatkuasa adalah bukti bahawa Noraini mengutamakan prinsip, maruah dan akur kehendak akar umbi berbanding imbuhan jawatan dan habuan.

“Ini adalah manifestasi seorang pejuang tulen yang memperlihatkan sisi keberanian sejati. Beliau telah mendahulukan untuk mendokong Duli Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong berbanding terus bersekongkol dengan sebuah kerajaan yang menderhaka titah Tuanku.

“Malah memilih untuk taat pada keputusan parti, hasrat akar umbi berbanding usaha pentingkan diri dengan ikut serta bersama sebuah kerajaan gagal yang keabsahan Perdana Menterinya dipertikaikan.

“Di atas perjuangan berteraskan prinsip dan memelihara maruah diletakkan pada tahap tertinggi, maka sekali lagi Jawatankuasa Pergerakan Wanita UMNO Negeri Kedah mengucapkan syabas dan sekalung penghormatan yang tinggi,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Sharifah Maznah juga berhadap pendirian dan keberanian semangat yang telah ditunjukkan oleh Ahli Parlimen Parit Sulong itu membarakan lagi kepaduan dan iltizam kami untuk terus bergerak sederap bagi membolehkan wanita UMNO menjadi tulang belakang bagi membela dan memenangi hati seluruh rakyat. –UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.