Keputusan MKT Cerminkan Pelaksanaan Mandat Akar Umbi, PAU – UMNO Kelantan
KUALA LUMPUR, 4 Ogos – UMNO Kelantan berdiri teguh bersama Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkait dengan kenyataan menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri.
Kata Pengerusinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, keputusan yang dibuat ini adalah mencerminkan pelaksanaan secara menyeluruh dari akar umbi yang telah menyerahkan mandat kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang lepas.
“Ini bertepatan dengan Fasal 3.2 Perlembagaan UMNO untuk Mendukung dan Mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berperlembagaan.
“Justeru, usaha-usaha untuk menjaga keharmonian ini haruslah disokong kerana Institusi Raja adalah teras utama kepada negara bagi menjaga kedaulatan rakyat dan keadilan sosial,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Ahli Parlimen Machang itu lagi, UMNO Kelantan teguh berdiri dan menyokong keputusan Majlis Tertinggi untuk berpendirian berpihak kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Sebagai rekod, UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang ternyata gagal di mata rakyat, selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.
Demikian tegas Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media yang berlangsung secara maya selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat MKT UMNO, petang Selasa.
“Kenyataan terbaru Perdana Menteri hari ini, tidak menjernihkan masalah bahkan menyerlahkan kekhilafan Kerajaan yang jelas telah menyanggah titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong, malah mempersendakan baginda, yang hakikatnya sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi bukan September 2021, sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan,” kata Ahmad Zahid.
Ujar Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), bagi menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong maka, MKT sebulat suara bersepakat untuk menarik balik sokongan terhadap Kerajaan PN dan Mahiaddin selaku Perdana Menteri. – UMNO ONLINE