Categories: Berita Lain

Perak Sedia Studio PdPR, Bantu Guru Siapkan Bahan Pengajaran

IPOH, 28 Julai – Lebih 20 unit studio akan disediakan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh Perak bagi memberi kemudahan kepada para guru melakukan persiapan bahan-bahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata inisiatif sebanyak RM125,000 daripada kerajaan negeri itu telah diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak bagi tujuan penyediaan dua studio PdPR berkenaan di setiap 11 PPD.

“Inisiatif di bawah Program Tuisyen Cikgu Saarani ini bertujuan membantu warga pendidik menyediakan kelengkapan bagi PdPR yang kini menjadi amalan norma baharu ekoran pandemik COVID-19 selain boleh dimanfaatkan bagi sesi taklimat serta aktiviti sukan dalam talian atau E-sukan,” katanya pada sidang media secara maya melalui aplikasi Zoom Meeting di pejabatnya hari ini.

Turut berlangsung, majlis penyerahan cek kepada Pengarah Pendidikan Perak Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali oleh Saarani yang dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri Khairul Shahril Mohamed, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri Ahmad Saidi Mohamad Daud dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Dilapor baru-baru ini, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sesi persekolahan secara PdPR diteruskan hingga 31 Ogos tahun ini, mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KPM juga telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 Sept, mengambil kira kadar vaksinasi melibatkan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan.

Selain itu, Saarani berkata JPN Perak turut menerima cek bernilai RM15,000 bagi melaksanakan Majlis Sukan Sekolah Perak eChallenge 2021 iaitu pertandingan yang melibatkan 24 jenis permainan sukan dalam talian.

Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama kerajaan negeri akan melaksanakan Program Kasih Ibu Darul Ridzuan (KIDR) untuk membantu golongan rentan yang terkesan oleh pandemik COVID-19 bermula 1 Ogos ini melibatkan 5,097 penerima wanita termasuk 1,104 daripada komuniti Orang Asli serta 20,000 tanggungan dalam kalangan golongan miskin dan miskin tegar.

Ketua Pegawai Eksekutif NCIA Datuk Seri Jebasingam Issace John yang turut menyertai majlis menerusi aplikasi Zoom Meeting itu berkata bantuan Program KIDR diberi melalui kad tanpa tunai yang disediakan oleh Kiplepay Sdn Bhd boleh digunakan untuk pembelian barangan keperluan asas dan rawatan kesihatan di klinik swasta.

“Penerima bakal mendapat kad tanpa tunai bernilai RM250 sebulan untuk membeli barangan keperluan harian di kedai runcit yang disenaraikan berdekatan kediaman mereka,” katanya dan menambah bagi bantuan rawatan kesihatan pula, penerima akan menerima nilai RM250 untuk kegunaan seluruh ahli keluarga untuk tahun ini.

Para peserta Program KIDR telah dipilih dan disaring daripada sistem eKasih yang dibangunkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dan sistem iDamak milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), dengan mereka berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019.

NCIA memperuntukkan sebanyak RM7.4 juta bagi Fasa 1 program ini sebagai manfaat penerima Program KIDR dan penyerahan Kad KIDR kepada penerima telah bermula sejak 19 Julai lepas di seluruh 12 daerah di negeri Perak, dengan kerjasama semua Pejabat Daerah dan Tanah melalui penghulu-penghulu mukim manakala bagi penerima Orang Asli akan dilaksanakan oleh pihak Jakoa. – BERNAMA