Categories: Berita Utama

Pemuda UMNO Sejak Dulu Konsisten Membawa Suara Rakyat – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata Pemuda UMNO sejak dulu konsisten membawa suara rakyat melalui tuntutan rakyat yang melibatkan bantuan tambahan tunai, bantuan bakul makanan, moratorium, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 dan diskaun bil-bil utiliti.

Katanya, hari-hari Pemuda UMNO memperjuangkan isu ini hingga Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sendiri berjumpa dengan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menyampaikan tuntutan rakyat ini.

“Rakyat dapat lihat hanya Pemuda UMNO saja yang bermati-matian dalam hal ini. Pewaris kamu Ketua Armada, YB Jargon pun tidak berbunyi dalam hal ini.

“Mungkin pemikirannya tidak sampai ke tahap ini. Yang penting kita tidak bawa idea seperti cetak wang atau surat sokongan.

“Bersihkan halaman sendiri dulu, baru bersihkan halaman orang,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook.

Justeru Dr Najmil menolak dakwaan bahawa Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang seorang sahaja prihatin pada rakyat

“Beliau lupa bahawa UMNO yang prihatin pada rakyat dan terus memperjuangkan suara rakyat. Dia seorang saja yang berani. Dia juga yang paling prihatin pada rakyat.

“Masa dia sibuk main TikTok, dia tak tau agaknya yang paling bekerja keras memperjuangkan suara rakyat adalah UMNO,” ujarnya. – UMNO Online