Gagal Eksperimen Darurat, Sekarang Ke Mana Haluan Kerajaan? – Mohd Fadzil
KUALA LUMPUR, 27 Julai – “Apakah kerajaan Malaysia masih berfikir orang Malaysia ini masih bodoh dan akan menerima sahaja tindakan mereka yang tidak telus?” demikian luahan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Mohd Fadzil Zolkipli berkenaan pembatalan darurat secara tiba-tiba oleh kerajaan.
Katanya, rakyat mempersoalkan adakah benar darurat ditamatkan 21 Julai atau hanya keputusan dibuat tergesa-gesa berikutan arahan letak jawatan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada ahli-ahli Parlimen UMNO yang berjawatan menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) .
“Semasa mengumumkan permulaan darurat dinyatakan satu jawatankuasa bebas akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal. Adakah proses ini berlaku dalam penamatan itu. Adakah Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan penamatan darurat pada 21 Julai itu, atau ia keputusan kerajaan tanpa merujuk kepada baginda?
“Yang pasti kerahsiaan menarik balik darurat menjadikan kerajaan Malaysia perhatian dunia. Sudahlah Malaysia negara tunggal dalam dunia menggunakan darurat atas alasan COVID-19 bagi mengantung Parlimen, sekarang tarik balik darurat diam-diam. Mungkin pakar politik dunia boleh menjadikan Malaysia satu kajian kes bagi mengajar topik ‘demokrasi ala Malaysia’.
“Penarikan darurat adalah bukti langkah sememangnya gagal, lihat sahaja angka mutakhir ini kes meningkat dengan begitu tinggi. Kes kematian juga meningkat berganda, hospital sudah kekurangan katil, bekalan oksigen,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Tambah Mohd Fadzil Malaysia adalah satu-satunya negara dimana lockdown dan darurat berpanjangan tetapi kes semakin menaik.
Beliau turut mengambil contoh India yang pernah menghadapi bencana parah COVID-19 hanya mengenakan lockdown selama 10 minggu dan negara itu tidak mengistiharkan darurat serta mengantung Parlimen.
“Dalam tempoh darurat ini juga kadar jangkitan dan kematian akibat COVID-19 adalah yang terburuk di seluruh dunia dengan mencatatkan 12 kali lebih tinggi daripada kadar purata dunia.
“Tempoh darurat juga ramai anak kehilangan ibu bapa, kehilangan saudara mara, kehilangan rakan taulan. Angka kematian itu bukan setakat satu statistik tetapi penderitaan, kekecewaan mereka yang kehilangan yang disayangi.
“Apatah lagi bab ekonomi, darurat tidak membantu sektor ekonomi. Dari kehilangan pekerjaan, penutupan perniagaan sehingga peringkat global seperti penurunan rating okeh agensi penarafan kredit, prestasi buruk Bursa Saham Kuala Lumpur sehingga disifatkan terburuk di Asia Pasifik dan keempat terburuk di seluruh dunia,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, begitu juga pelaburan langsung asing (FDI) negara yang mencatatkan paling rendah di negara Asean ini menjadi bukti kegagalan darurat apatah lagi suntikan RM600 bilion tidak dapat menjadi pemangkin kestabilan ekonomi.
“Sesungguhnya rakyat sudah hilang keyakinan kepada kerajaan ini, rakyat hanya mampu menahan kekecewaan menjadi scheme of thing kerajaan ini. Mereka tahu kerajaan ini tidak akan berubah lebih baik dan merubah kerajaan menerusi pilihan raya mungkin ambil masa setahun dua lagi. Haluan kerajaan seterusnya juga kabur.
“Persoalan yang berkisar, dengan tamatnya darurat dan ordinannya bagaimana dengan keabsahan kerajaan ini? masihkah Perdana Menteri mempunyai majoriti mudah?” tegas beliau. – UMNO Online