Misi HM4P: Kisah Benar… Tidak Ada Sabotaj Halang Masuk Gaza – Azeez Rahim

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) merangkap Pengerusi Misi Bantuan Kemanusiaan Palestin (HM4P), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menegaskan bahawa tidak ada mana-mana pihak yang mensabotaj atau menghalang niat anggota misi untuk memasuki Gaza.

Sebaliknya kata beliau, perancangan HM4P terpaksa ditangguhkan berikutan faktor keselamatan yang masih tidak menentu di Gaza.

“Kehadiran HM4P memang dinanti-nanti dan diingati oleh rakyat Gaza kerana ini bukan kali pertama tetapi ia ditangguhkan.

“Misi ini adalah untuk semua, merentas sempadan politik dan yang penting UMNO terus istiqamah dan terus membawa panji-panji atas nama negara tanpa sempadan politik.

“Tak ada mana-mana pihak sabotaj, tak ada yang blok dan tak ada mana-mana pihak yang tak benarkan HM4P masuk ke Gaza. Kita juga tidak pernah keluarkan kenyataan yang Wisma Putra enggan bantu kita kerana Wisma Putralah yang banyak memudahkan urusan kita khususnya kedutaan Malaysia di Mesir,” katanya.

Berhubung hal ini, beliau turut menunjukkan keratan portal media tempatan yang mendakwa Wisma Putra enggan membantu HM4P.

“Ini semua tidak betul kerana kita tak pernah berikan kenyataan sedemikian kepada sesiapa, malah ini adalah fitnah dan ada orang yang cuba nak melaga-lagakan. Namun kita percaya dengan kebenaran kerana niat kita baik, ikhlas dan kita memang mahu membantu,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata demikian menerusi program ‘Misi HM4P: Kisah Benar…’ yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Turut serta ialah Timbalan Pengerusi BKUM yang juga MKT UMNO merangkap Pengerusi Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya dengan moderatornya, Datuk Dr Noor Azizan Abd Majid yang juga menyertai 17 anggota HM4P.

Ujar Abdul Azeez, HM4P mempunyai kerjasama dan jalinan yang erat dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, malah mereka mengalu-alukan gerak kerja bersama-sama dengan mereka.

“Sekarang kami tahu ada hikmahnya misi ke Gaza tertangguh kerana mengikut jadual gerak kerja kita di Gaza iaitu pada hari terakhir kita akan berada di pasar Zawiya dan kebetulannya pada waktu itu telah berlaku satu letupan yang menyebabkan kematian dan ada kecederaan-keceraan yang amat serius.

“Kita juga sudah sediakan kotak-kotak makanan untuk 5,000 keluarga dan kini kita dapat makluman bahawa sebahagian kotak-kotak ini telah diagihkan untuk rakyat di Gaza.”

Jelasnya, biarpun misi kali ini bukan pengalaman pertama ke Gaza kerana sebelum ini telah tiga kali ke sana namun mengakui bahawa kali ini lebih sukar.

“Ini kerana antaranya pandemik COVID-19 selain kerajaan Mesir tidak mahu apa-apa berlaku kepada sukarelawan misi bantuan dari Malaysia ini.

“Inilah yang berulang kali mereka nyatakan iaitu mereka mahu kita semua selamat. InsyaAllah dalam masa terdekat ini, dalam bulan lapan, insyaAllah mereka akan berikan bantuan dan berikan kebenaran untuk kita memasuki Gaza selama lima hari dan kita akan dapat salurkan sendiri bantuan serta nyatakan solidariti kita dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin.”

Dalam masa yang sama, beliau turut menyentuh berkaitan isu membabitkan Ustaz Ebit Lew, Caprice dan Nadir An Nuri.

“Kita berbangga dengan Ustaz Ebit Lew yang dapat masuk ke Gaza, alhamdulillah, dan insyaAllah kita juga akan ke sana tak lama lagi… kita mohon semua doakan.

“Kita juga doakan, Ustaz Ebit Lew, saudara Nadir dan anakanda Caprice agar Allah berikan tawfik dan hidayah, dan kita raikan pendapat mereka kerana kita pun tak tahu apa yang berlaku… kerana mereka yang berkomunikasi dan berinteraksi antara mereka tapi apa yang saya nak kita sentiasa mendoakan agar kita bersatu dalam satu saf kerana niat kita adalah untuk bantu rakyat Palestin di seluruh dunia. Kita tak nak ada perpecahan diantara kita,” katanya.

Terangnya, BKUM sendiri telah melaksanakan pelbagai misi kemanusiaan dan telah sampai 40 negara dengan pelbagai cabaran.

“Kita melangkau sempadan politik dengan 40 misi yang telah kita lakukan dan ini adalah misi ke 41,” katanya lagi.

Dilaporkan, 65 peratus misi HM4P telah berjalan lancar dan berjaya dilaksanakan yang antaranya menyalurkan sumbangan USD200,000 (RM828,000) kepada Tabung Al-Aqsa bagi membaikpulih, menambahbaik dan memenuhi keperluan berkaitan pengurusan dan penyelenggaraan masjid terbabit akibat musnah selepas diserang Israel selain sumbangan kemanusiaan kepada pelarian Palestin.

Antara tujuan misi HM4P ialah menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk bekalan makanan dan ubat-ubatan serta membantu membangunkan kawasan penempatan warga Palestin yang terjejas selepas diserang tentera Israel Mei lalu – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit