Kalau Darurat Berkesan Mungkin Kes COVID-19 Hari Ini Hanya 17 Kes, Bukan 17,045 – Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 25 Julai – UMNO konsisten bahawa tiada keperluan untuk darurat disambung selepas 1 Ogos, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Ahmad Maslan.
Jelas beliau, disebabkan itu sidang Parlimen yang berlangsung bermula esok dilihat penting bagi menghentikan ordinan ini daripada diteruskan oleh kerajaan.
“Darurat ini kemudaratannya lebih besar kepada negara sedangkan tanpa darurat kerajaan masih boleh meneruskan agenda berkaitan pandemik COVID-19. Sebelum-sebelum ini pun kita ada memaklumkan keputusan yang sama berkenaan darurat ini.
“Kalau darurat ini berkesan tidaklah sampai hari ini kes harian mencecah 17,045 jangkitan baharu, kalau darurat berkesan mungkin kes hari ini hanya 17 kes dalam lain perkataan darurat ini tidak ada faedah pun jadi jangan pula Ordinan Darurat ini disambung pula lagi enam bulan.
“Jadi adalah penting untuk dibahas dan diundi mengenai undang-undang darurat ini atas sebab-sebab itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program ‘Segmen Edisi Khas Dewan Rakyat: Kebenaran atau Kegagalan?’ menerusi siaran langsung di Facebook UMNO Online, petang tadi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berharap kerajaan tidak mengamalkan konsep kroni kapatilisme yang membenarkan syarikat-syarikat besar terus beroperasi meskipun pencegahan penularan wabak COVID-19 masih dilaksanakan.
“Ianya membawa maksud apabila kapitalis-kapitalis berpakat dengan ahli-ahli politik untuk tujuan masing-masing.
“Saya harap ianya tidak berlaku di Malaysia di mana syarikat-syarikat yang bermodal besar akhirnya diberikan kelonggaran yang akhirnya memberikan akibat kepada nyawa manusia yang tidak berdosa ini melayang.
“Saya cukup faham apakah maksud tutup pintu depan, buka pintu belakang kerana kesannya berlaku kepada diri dan keluarga saya sendiri sehinggakan ibu saudara saya meninggal dunia akibat dijangkiti COVID-19,” ujar beliau lagi. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib