Categories: Berita UtamaMisi Gaza

Misi Kemanusiaan UMNO Berjaya Salurkan Sumbangan Untuk Rakyat Gaza, Palestin

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Walaupun Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Palestin (HM4P) oleh Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) tertangguh dan anggota misi telah kembali ke tanah air namun hasrat rakyat Malaysia dan ahli UMNO meyalurkan sumbangan untuk rakyat Gaza menjadi realiti.

Sumbangan berupa kotak makanan HM4P telah disalurkan melalui rakan pintar Cinta Gaza Malaysia yang tiba di dua lokasi iaitusebuah perkampungan badwi di utara Gaza dan juga Kem Pelarian As-Syati’ di Bandar Gaza.

Anggota misi HM4P seramai 17 orang telah kembali ke tanah air atas nasihat Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berikutan faktor keselamatan yang masih tidak menentu di Gaza.

Sehubungan itu, HM4P yang diketuai oleh Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim merangkap pengerusi BKUM menangguhkan misi terbabit sehinggalah mendapat nota diplomatik kebenaran untuk memasuki Gaza.

Dalam masa yang sama, pelbagai program yang berupa latihan kemahiran dan perubatan sebagaimana yang dirancang oleh HM4P akan tetap diteruskan sekembalinya anggota misi setelah kebenaran masuk diperoleh kelak.

Terdahulu, HM4P telah berjaya menyuarakan solidariti warga Malaysia dan UMNO kepada rakyat Palestin apabila hasrat bagi membaikpulih, menambahbaik dan memenuhi keperluan berkaitan pengurusan dan penyelenggaraan masjid Al-Aqsa yang diserang Zionis Israel berjaya dilaksanakan.

Sumbangan berjumlah USD200,000 (RM828,000) telah diberikan kepada Tabung Al-Aqsa di bawah Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama yang diterima oleh menterinya, Dr Mohammad Al-Khalaileh telah mengembalikan suara azan di masjid berkenaan selain beberapa kerosakan iaitu tempat wuduk, tandas dan klinik.

HM4P juga telah berjaya menyampaikan sumbangan 2,000 pek makanan yang mampu bertahan sehingga sebulan bagi satu-satu keluarga besar kepada masyarakat Palestin di kem-kem pelarian yang antaranya ialah Kem Pelarian Palestin di Al-Baqa’a, al-Rusaifah, Hitthin dan Wahadad serta Kem Gaza di Jerash dan Talibiah.

Sementara di Kaherah, HM4P telah menyampaikan bantuan kemanusiaan, termasuk pengagihan 10 kerusi roda kepada wakil Hospital Palestin yang dikendalikan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir di samping menyantuni para pelajar Malaysia di sini.

Misi HM4P yang asalnya dijadualkan berlangsung selama dua minggu bertujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan warga Palestin terjejas di Gaza yang diserang tentera Israel pada Mei lalu. – UMNO Online