Kes Baharu COVID Catat Angka Lebih 15,000 Dua Hari Berturut-Turut
KUALA LUMPUR, 24 Julai — Dua hari berturut-turut negara mencatatkan kes jangkitan baharu COVID-19 melebihi angka 15,000 dengan jumlah kes sebanyak 15,902 hari ini, sekali gus menjadikannya yang tertinggi pernah direkodkan sejak dilanda pandemik itu Mac tahun lepas.
Ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 996,393 kes. Semalam, buat kali pertama Malaysia mencatatkan kes melebihi angka berkenaan dengan 15,573 kes dengan 144 kes kematian serta 30 kluster baharu.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan di akaun Twitternya berkata Selangor kekal sebagai negeri yang mencatatkan kes tertinggi dengan 7,351 kes manakala Kuala Lumpur turut merekodkan kes empat angka dengan 2,406 kes.
“Sebanyak 867 kes pula direkodkan di Kedah, diikuti Johor (804), Sabah (712), Melaka (631), Negeri Sembilan (625), Pulau Pinang (505) dan Kelantan (502),” katanya.
Beliau berkata negeri lain yang mencatatkan kes baharu tiga angka pada hari ini ialah Perak dengan 469 kes, Pahang (406), Terengganu (267), Sarawak (261), Putrajaya (59), Labuan (30), manakala Perlis hanya tujuh kes.
Sementara itu, dalam kenyataan rasminya, Dr Noor Hisham memaklumkan perincian kes baharu hari ini merangkumi 15,876 kes tempatan dan 26 kes import.
Beliau berkata dalam tempoh sama, kes sembuh juga mencatatkan angka tertinggi dengan 9,471 menjadikan jumlah keseluruhan individu pulih daripada wabak itu kini 834,858.
Perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kes aktif sebanyak 153,633, manakala kes yang sedang dirawat dalam unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 950 termasuk 468 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sebanyak 184 kematian baharu dilaporkan menjadikan jumlah korban wabak itu di Malaysia mencecah 7,902 orang.
Beliau berkata berdasarkan data setakat semalam, nilai kadar kebolehjangkitan (RT) Malaysia adalah sebanyak 1.09, manakala negeri yang mencatatkan nilai RT paling tinggi adalah Terengganu dengan 1.37, diikuti Kedah (1.23) dan Pulau Pinang (1.22).
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat 27 kluster baharu dikesan melibatkan 15 kluster di tempat kerja, kluster komuniti (tujuh), kluster pusat tahanan (dua) dan masing-masing satu bagi kluster pendidikan tinggi, kluster import dan kluster kumpulan berisiko tinggi.- BERNAMA