Categories: Berita Lain

Demi Bersama Rakyat… UMNO Buka Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) Sebagai PPV – Ahmad Maslan

BENTONG, 22 Julai – UMNO merealitikan hasrat bersama rakyat apabila menjadikan pusat latihannya, Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) di Kampung Janda Baik, di sini sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi penduduk setempat bermula hari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa pembukaan ILMU sebagai PPV adalah atas restu dan kebenaran dari Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Ini adalah antara usaha yang dibuat oleh UMNO sebagai hasrat untuk sentiasa membantu dan bersama rakyat dalam apa-apa juga keadaan.

“Jika sebelum ini ILMU hanya digunakan untuk program dalaman parti tetapi hari ini ia diaplikasi sebagai ruang untuk masyarakat setempat dan moga ILMU dan UMNO akan diingati oleh komuniti setempat sebagai sebuah institusi sosial serta sebuah parti perjuangan yang prihatin rakyat iaitu selalu berusaha untuk sentiasa bersama rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berpesan agar semua pihak terus mematuhi SOP dan laksanakan penjarakan sosial termasuklah di kawasan PPV.

Dilaporkan, dengan adanya ILMU sebagai PPV di kawasan ini, para penduduk tidak perlu menunggu atau keluar dari kawasan terbabit sebaliknya menggunakan sepenuhnya kemudahan yang ada di dalam ILMU. – UMNO Online