‘Jangan Campak Gula-Gula Ke Mulut Buaya’, Henti Aniaya Warga Felda – Mohd Hairi
KUALA LUMPUR, 19 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Johor mendesak supaya pengurusan Felda meletakkan satu tempoh masa baharu untuk tarikh tutup proses mendapatkan tandatangan semua peneroka iaitu pada 23 Julai ini, dianjakkan ke suatu tarikh yang sesuai bagi memberi ruang untuk penjelasan dan sesi hebahan serta penerangan dapat dibuat ke setiap tanah rancangan.
Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, Felda juga perlu menjelaskan juga apa syarat atau terma yang akan dikenakan tanpa ada sorok dan selindung supaya tidak berlaku masalah di kemudian hari dan pada masa akan datang kepada pewaris dan generasi baharu Felda.
“Minggu lalu, Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat dan menurut beliau, persetujuan itu mengambil kira isu hutang peneroka yang disifatkan harus diperbetulkan terlebih dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau ‘restart’ Felda.
“Berdasarkan inisiatif berkenaan, purata bayaran balik pinjaman dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 hingga RM1,000, kepada hanya RM250 hingga RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah.
“Namun, saya difahamkan beberapa hari selepas pengumuman itu, pegawai-pegawai Felda di tanah rancangan mula bergerak rumah ke rumah peneroka untuk pastikan setiap peneroka bersetuju dan menerima penghapusan hutang ini dengan menurunkan tanda tangan mereka ke atas perjanjian yang dibawa,” katanya menerusi satu kenyataan kepada UMNO Online.
Tegas Mohd Hairi lagi kenapa begitu tergesa-gesa melaksanakan perkara berkenaan, meminta tanda tangan peneroka serta-merta seperti ‘memaksa’ tanpa ada penerangan ada sesi perjumpaan atau hebahan bagi membolehkan peneroka, generasi yang mewarisi peneroka dan seluruh warga Felda mendapat maklumat dan penerangan yang sebenarnya,”.
Justeru kata Hairi lagi, pihak Felda jangan cuba wujudkan jurang atau ‘gab’ informasi seperti ini, apabila wujud jurang atau gap, jangan pula dimarahkan peneroka atau warga Felda apabila muncul persoalan, persepsi atau andaian, kerana anda sendiri kerajaan dan pengurusan Felda yang mewujudkan ruang untuk semua andaian dan persepsi ini muncul.
“Perkara seperti ini bukan kali pertama berlaku, sebelum ini juga pernah membabitkan permintaan tandangan daripada peneroka, jadi belajarlah daripada kesilapan sebelum ini, jangan terus aniaya dan jadikan peneroka Felda mangsa ‘polisi baharu’ yang menjerat mereka sendiri.
“ Jika benar inisiatif diumumkan ini tidak membabitkan pengambil alihan semula tanah atau pelbagai lagi persoalan dan dakwaan yang timbul sekarang ini, nyatakan kebenaran dan perjelaskan kepada warga peneroka,” katanya lagi.
Hairi seterusnya membangkitkan tentang baki hutang antara satu sama lain yang perlu diberikan perhatian sewajarnya supaya lebih adil buat mereka.
“Seperkara lagi yang mahu dibangkitkan Pemuda UMNO Johor adalah pengumuman ini seolah-olah memperlihatkan pengurusan Felda tidak adil kepada peneroka-peneroka yang mempunyai baki hutang yang sedikit, dilupuskan pinjaman, tetapi perlu diserahkan pula tanah, berbanding peneroka yang masih memiliki jumlah hutang yang tinggi dan rasa berbaloi untuk dilupuskan hutang,” ujarnya.
Tegasnya, sepatutnya satu terma lain perlu diberikan buat peneroka yang tidak memiliki hutang yang banyak atau baki hutang yang sedikit supaya hak lebih adil buat mereka dapat diberikan. – UMNO Online