Bukan Sekadar Bakul Makanan, Segerakan Tuntutan Rakyat– Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Ramai pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) /Perikatan Nasional (PN) dakwa rakyat harus bersyukur kerana bantuan Kerajaan setakat ini sudah memadai, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Bahkan, ujarnya Perdana Menteri (PM) pula mendakwa  sudah terlebih  dan bertimbun barang-barang keperluan di dapur.

“Apakah Bakul Makanan (Bakul Prihatin Negara) dianggap bakul ajaib yang dikira memadai untuk selesaikan masalah rakyat ketika ini?

“Kalau sudah memadai, rakyat tak minta seperti nilai BPR, BKC dan GKP ditambah, bantuan dipercepatkan bukan tunggu Ogos, pengeluaran wang simpanan sendiri i-Citra, penangguhan ansuran bulanan bank (moratorium tanpa faedah terakru) termasuk LPPSA bagi kakitangan awam bergaji rendah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Dr Asyraf lagi, sewajarnya kerajaan harus membenarkan rakyat menggunakan duit sendiri kerana ia adalah wang sendiri akibat terjejas pendapatan sepanjang pandemik ini.

“Itu pun i-Citra dan moratorium tidak melibatkan duit Kerajaan, hanya duit rakyat yang ditagih akibat terdesak dan pasrah akibat tuntutan rakyat tak diendah.

“RM300,000 peruntukan satu Parlimen untuk Bakul Prihatin Negara dengan kos RM50 hanya memenuhi keperluan 6,000 keluarga atau jika RM100 untuk 3,000 keluarga, apakah nasib mereka yang lain?” soalnya lagi.  – UMNO Online

 

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit