UMNO Pulau Pinang Sependapat Keputusan Parti, Pendirian UMNO Diutamakan

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang mengambil pendirian yang sama dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat pada 7 Julai 2021 yang lepas, kata Pengerusinya Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Jelasnya, keputusan tersebut merupakan kesepakatan yang selari dengan keputusan yang dicapai di dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada bulan Mac yang lalu di mana mandat diberikan kepada Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk menentukan tarikh yang sesuai untuk menarik sokongan daripada Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Perikatan Nasional yang memerintah ketika ini.

“UMNO Pulau Pinang berpendapat bahawa keputusan dan pendirian parti terutamanya yang diputuskan melalui badan tertinggi parti iaitu Perhimpunan Agung UMNO bukan hanya perlu dihormati malah dipertahankan oleh setiap kepimpinan dan ahli parti UMNO.

“Keputusan yang diambil oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO juga bukan hanya bersifat politik semata-mata kerana ianya melihat serta menilai kegagalan pentadbiran negara di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri dalam menangani pelbagai isu terutamanya yang berkaitan dengan kebajikan serta pembelaan kepada rakyat.

“Jangan jadikan rakyat dan negara ini menjadi mangsa kepada kegagalan kerajaan Perikatan Nasional menangani isu COVID-19 dalam tempoh lebih dari setahun ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada masa yang sama, kata Musa lagi, UMNO Pulau Pinang menyeru agar seluruh kepimpinan dan ahli khususnya di Pulau Pinang kembali berdiri teguh bersama bagi memperkukuh serta menguatkan semula parti UMNO.

“UMNO perlu terus memainkan peranan dalam mendepani harapan dan aspirasi rakyat serta bekerjasama membantu rakyat menghadapi situasi sukar ketika ini,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit