Categories: Rencana/Suara Blogger

Kebijaksanaan Majlis Kerja Tertinggi UMNO

Keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dua hari lepas amat mengelirukan:
(i) Keputusan rasmi UMNO ialah tarik balik sokongan kepada PM Mahiaddin.
(ii) Ucapan tahniah kepada Naib Presiden UMNO yang dilantik Timbalan Perdana Menteri oleh PM Mahiaddin.
(iii) Kebebasan kepada Ahli-Ahli Parlimen untuk terus sokong PM Mahiaddin.

Keputusan yang diharap oleh banyak pihak ialah Majlis Tertinggi hanya menjadi “pembaris” untuk mengukur laluan yang tidak pernah lurus. Mereka jangkakan keputusan berikut:
(i) UMNO tarik diri terus daripada kerajaan PN
(ii) UMNO arahkan Naib Presiden tidak terima lantikan TPM yang dilantik oleh PM Mahiaddin
(iii) UMNO arahkan semua Ahli-Ahli Parlimen UMNO supaya jangan lagi sokong kerajaan PN.

Apa jua keputusan Majlis Tertinggi tetap tidak akan disenangi dan dipersetujui oleh sekumpulan Ahli-Ahli Parlimen yang perasan diri mereka lebih layak menentukan halatuju UMNO. Ahli Parlimen yang kalah dalam pemilihan MT pun bukan main lagi berasa hebat nak mencatur itu dan ini.

1. TARIK SOKONGAN TERHADAP PM MAHIADDIN
Pendirian rasmi UMNO untuk tidak lagi sokong PM Mahiaddin adalah bersandarkan kepada senarai panjang kegagalan demi kegagalan yang disertakan dalam kenyataan media tempoh hari. Tidak disebut bahawa UMNO menarik diri daripada kerajaan PN.

Maka, jika sebelum ini UMNO (dan parti-parti lain) boleh memberi sokongan kepada PM Mahiaddin, mungkin tiba masa untuk semua parti yang bekerjasama membentuk kerajaan PN kembali duduk berbincang mencari calon Perdana Menteri baru yang boleh dipersetujui semua pihak.

2. TAHNIAH KEPADA NAIB PRESIDEN
Ucapan tahniah yang dizahirkan kepada Naib Presiden UMNO selepas dilantik oleh PM Mahiaddin menjadi Timbalan Perdana Menteri turut dijadikan isu.

Orang terima jawatan baru, mestilah ucap tahniah. Takkan nak ucap takziah pulak?

Namun begitu, keputusan rasmi parti untuk menarik balik sokongan kepada PM Mahiaddin tetap kekal. Beban membuat keputusan dipulang-balik kepada Naib Presiden. Fikir-fikirlah sendiri jalan mana yang dirasakan terbaik. Ahli-ahli UMNO di seluruh negara sedang menilai.

3. KEBEBASAN UNTUK AHLI PARLIMEN
Apabila sekumpulan Ahli Parlimen berlagak lebih daripada Ahli Majlis Tertinggi untuk menentukan halatuju parti UMNO, banyak pimpinan pelbagai peringkat dalam UMNO yang kurang senang dan mendesak tindakan disiplin diambil keatas kumpulan tersebut.

Walaubagaimanapun, Ahli-Ahli Parlimen daripada UMNO sebaliknya diberi kebebasan untuk menentukan sendiri polariti sokongan mereka semasa sidang Parlimen nanti.

Semua Ahli-Ahli Parlimen sedia maklum bahawa keputusan rasmi parti untuk menarik balik sokongan kepada PM Mahiaddin tetap kekal. Beban membuat keputusan kini dipulang-balik kepada mereka. Fikir-fikirlah sendiri jalan mana yang dirasakan terbaik. Ahli-ahli UMNO di seluruh negara sedang menilai.

 

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Arau

Syed Atif Syed Abu Bakar