UMNO Terengganu Menyokong Penuh Ketetapan MKT – Ahmad Said

KUALA LUMPUR. 8 Julai – Badan Perhubungan UMNO Terengganu menyokong penuh ketetapan yang diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam Mesyuarat malam tadi yang selaras dengan pendirian parti ketika Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang lalu.

Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Said berkata jelas dan nyata kegagalan Kerajaan menangani pandemik COVID-19 dengan berkesan selain menyalahgunakan Darurat untuk kepentingan politik serta kegagalan Kerajaan mempertahankan sistem demokrasi berparlimen.

Malah katanya lagi turut dilihat kegagalan Kerajaan menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat, kegagalan Kerajaan untuk memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat, serta kegagalan Kerajaan mengurus kestabilan politik serta ekonomi.

“Dan Kegagalan Kerajaan yang memperkotak-katikkan Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah merupakan sebab utama UMNO tamatkan sokongan terhadap terhadap Tan Sri Mahiaddin Md. Yasin sebagai Perdana Menteri Malaysia,” katanya menerusi kenyataan media yang disiarkan di dalam Facebook beliau, di sini, hari ini.

Ahmad Said seterusnya menegaskan UMNO terus berpendirian teguh untuk memperjuangkan dan mempertahankan kebajikan utama rakyat yang terkesan dan terjejas ketika ini.

“UMNO tidak boleh bersekongkol dengan pihak yang mengakibatkan rakyat menderita, sektor kesihatan yang semakin kritikal, ekonomi menjunam, peningkatan jumlah rakyat membunuh diri kerana miskin serta lapar dan sebagainya.

“Kepada Allah SWT kita berserah dan semoga Allah SWT memberkati kita semua insyaallah,” ujarnya.

Menerusi kenyataan media itu juga, Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan semoga dapat menjalankan tugas dengan baik, cemerlang serta didoakan dipermudahkan segala urusan.

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.