Petugas Parlimen Mula Terima Suntikan Vaksin COVID Hari Ini – Khairy

PUTRAJAYA, 30 Jun – Proses vaksinasi kepada lebih 400 petugas Parlimen dimulakan hari ini di beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) sekitar ibu negara, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ia merupakan persediaan kepada pembukaan sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang akan ditentukan tidak lama lagi.

“Kami mahu memastikan bahawa setiap petugas Parlimen mendapat perlindungan sewajarnya bagi mengelak daripada jangkitan berlaku,” katanya dalam sidang media perkembangan PICK bersama Menteri Kesihatan Datuk Dr Adham Baba di sini hari ini.

Mengulas lanjut Khairy berkata pemberian vaksin itu turut meliputi kakitangan Parlimen dan staf yang terlibat dengan pencucian dan katering.

Jelasnya setiap Ahli Parlimen juga telah diberitahu bahawa staf yang akan mengiringi mereka ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga layak untuk terima vaksin.

“Dengan harapan apabila Parlimen bersidang nanti semua telah divaksinasi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata Malaysia bakal menerima satu juta dos vaksin Astrazeneca sumbangan kerajaan Jepun esok dan satu juta lagi vaksin Pfizer dari Amerika Syarikat pada Jumaat.

Jelasnya Malaysia amat mengalu-alukan dan menghargai sumbangan berkenaan yang melambangkan keprihatinan serta kepercayaan kedua-dua negara itu terhadap kerajaan Malaysia dalam usaha memerangi COVID-19 di negara ini dan sebagai sokongan terhadap program imunisasi global.

“Bekalan ini akan dapat memperhebat PICK dan bantu Malaysia mencapai nilai-nilai ambang yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). Kesemua vaksin yang telah diperoleh akan diedarkan segera ke semua fasiliti dan PPV untuk kegunaan PICK dalam masa terdekat,” katanya.

Beberapa PPV mega juga akan mula beroperasi pada kadar lebih tinggi hari ini dengan pelaksanaan suntikan dos kedua, antaranya PPV KLCC yang kapasitinya akan meningkat kepada 8,000 dos suntikan sehari dan PPV Setia City akan meningkat kepada 6,000 dos suntikan sehari, kata Khairy.

“Semua fasiliti terlibat telah dipersiapkan untuk menampung kadar vaksinasi lebih tinggi bagi memastikan kelancaran operasi dan untuk mengelakkan kesesakan di PPV mega kita,” katanya. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit