Ahmad Zahid Lahirkan Kebimbangan Situasi Semasa Rakyat, Sama-Samalah Bantu Mereka Yang Memerlukan
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan kebimbangan dengan insiden bunuh diri yang semakin kerap dilaporkan selain beberapa masalah lain yang menimpa rakyat ekoran pandemik COVID-19 yang melanda negara.
Sehubungan itu beliau mengajak semua pihak termasuklah seluruh pimpinan dan ahli UMNO akar umbi agar terus berusaha membantu mereka yang memerlukan.
“Kita tahu dalam keadaan kewangan yang ketat ketika ini bukan suatu usaha yang mudah. Anggota masyarakat hendaklah sentiasa peka kepada keadaan individu di sekeliling anda.
“Hulurkan bantuan jika ada yang memerlukan mengikut kemampuan anda. Sikap ambil berat dan keprihatinan sesama insan memberi inspirasi dan motivasi,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Tambah Ahmad Zahid lagi ini adalah kali kedua beliau menyentuh perkara tersebut yang mana insiden bunuh diri semakin kerap dilaporkan.
“Antara kes terbaru Pengusaha restoran ditemui mati dalam premis perniagaan di Kemaman. Siasatan awal dipercayai akibat terlalu tertekan masalah ekonomi. Ada kes rakyat Malaysia ditemui mati bunuh diri di Thailand.
“Media Bangkok melaporkan perniagaan mangsa kerugian sejak pandemik Covid-19. Seorang lelaki lain ditemui mati tergantung di jejantas di Balakong.Dia disyaki dijangkiti Covid-19 dan pernah mengeluh tidak tahan sakit.
“Terbaru gantung diri di bumbung letak kereta. Apa sudah jadi? Mengapa jadi begini? Adakah keadaan ini akan dibiarkan berterusan? KKM memaklumkan terima 109,806 panggilan masalah psikologi sehingga 18 Jun lalu. Antaranya disebabkan kehilangan pekerjaan dan pendapatan serta hilang tempat bergantung serta pergaduhan antara ahli keluarga dan masalah rumah tangga,” ujarnya.
Maka ujarnya lagi sekali lagi pihaknya merayu kepada semua yang sedang berada dalam kesulitan bertabahlah serta cekalkan hati, kuatkan ketakwaan bagi yang beragama Islam dan jangan bertindak terburu-buru.
“Kepada ahli keluarga sentiasalah saling mengambil berat dan saling menguatkan semangat. Dalam keadaan sekarang ini, fikirkan jua bukan anda seorang yang mengalami kesulitan, terlalu ramai yang mengalaminya.
“Bagi pasangan suami isteri pula saling memberi kata-kata semangat dan dorongan dalam menghadapi situasi ini.Jangan kita menekan dan memaksa dalam mendapatkan sesuatu.
“Tekanan perasaan ini datangnya adalah dari tekanan yang mereka terima, apabila mereka tidak berfikir panjang dan putus harapan. Maka pilihan mereka adalah dengan pilihan yang singkat.
“Fikirkan sejauh-jauhnya untuk membuat dan mengambil sebarang tindakan yang sedemikian. Sentiasa berbincang dengan ahli keluarga dan sahabat handai yang terdekat bagi meminta pandangan nasihat dan bantuan apa yang diperlukan.
“Dalam institusi kekeluargaan, haruslah ditekankan sentiasa saling memahami, bertolak ansur dan bekerjasama pada waktu-waktu sukar begini,” tambahnya.
Ahnad Zahid turut menitipkan doa untuk seluruh rakyat dan negara.
“Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkau Yang Maha Agong Lagi Maha Besar”
“Peliharalah dan lindungilah kami seluruh ahli keluarga dan sahabat handai daripada fitnah dajjal almasih, gangguan dan bisikan syaitan, jin dan iblis yang merosakkan sejauh-jauhnya daripada kami”
“Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkau Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang”.
“Dengan nama Allah yang tidak memberi kemudaratan dengan namanya akan sesuatu pun di dunia dan di langit dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
“Ya Allah Ya Tuhan Kami, Engkau Yang Maha Mendengar Lagi Maha Melihat”.
“Ya Allah kami berlindung denganMu daripada penyakit sopak, penyakit gila, penyakit kusta dan daripada segala penyakit berbahaya yang lain.”
“Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkau Yang Maha Memiliki Dan Menciptakan segala yang ada di langit dan dibumi alam semesta ini”.
“Engkau angkatlah wabak dan penyakit COVID-19 dari muka bumiMu Ya Allah, Wahai yang Maha mendengar rintihan-rintihan hambaMu”.
“Engkau sembuhkanlah kepada mereka yang terkena jangkitan wabak dan penyakit COVID-19 ini”.
“Engkau berikanlah ketenangan dan lapangkanlah jiwa dan hati-hati kami agar sentiasa tenang, tabah dan cekal, dalam mengahadapi ujianmu”.
“Ya Allah rahmatilah, redhailah, berkatilah kami semuanya, terimalah dan makbulkanlah doa kami, hanya kepadaMu tempat kami meminta dan mengharapkan pertolongan”.
“Ya Allah Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa api neraka”.
“Aameen Yaa Rabbal A’laameen, Allahummaa Aameen”.- UMNO Online