Misi Palestin HM4P: Siar Raya Diusahakan Biro Kebajikan UMNO Kembalikan Laungan Azan Masjid Al-Aqsa

KAHERAH, 25 Jun – Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Palestin (HM4P) oleh Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) bagi fasa pertama yang melibatkan penyaluran sumbangan kewangan untuk membaikpulih dan memenuhi keperluan berkaitan pengurusan Masjid Al-Aqsa telah berjaya.

Hal tersebut direalitikan apabila laungan azan kembali berkumandang di Masjid Al-Aqsa selepas sistem siar raya di masjid berkenaan dibaiki sebagaimana antara keperluan bantuan yang diutarakan kepada BKUM ekoran kemusnahan selepas serangan zionis Israel.

Dalam hal ini, Pengerusi BKUM merangkap ketua misi HM4P, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menzahirkan rasa syukur kerana fasa pertama misi terbabit lancar dan berjaya dilaksanakan.

“Alhamdulillah, saya telah menerima visual Imam besar atau Ketua Pentadbir Masjid Al-Aqsa, Sheikh Umar Fahmi Al-Kiswani yang menghantar video beliau mengimamkan solat dan Alhamdulillah sound system (sistem siar raya) dan elok.

“Dalam usaha yang dibawa oleh BKUM, fasa pertama sudah berjaya dan syukur Alhamdulillah, kejayaan mampu menyiarkan kembali siar raya di Masjid Al-Aqsa. Sekarang mereka sedang mengusahakan kembali mengubahsuai dan memperbaiki tandas-tandas dan tempat wuduk yang telah runtuh termasuk dua buah klinik,” katanya.

Abdul Azeez telah empat kali terlibat dalam misi kemanusian bersama Palestin hinggakan dilantik sebagai Duta Kehormat Palestin pada 2012 oleh pemimpin Gaza.

Beliau, yang juga Ahli Parlimen Baling merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, melaksanakan misi fasa pertama kali ini bersama lima anggota bermula di Jurusalem, West Bank, Jordan yang kemudiannya bergerak ke Mesir dalam usaha melaksanakan misi fasa kedua untuk memasuki Gaza.

HM4P melalui BKUM telah menyalurkan sumbangan USD200,000 (RM828,000) kepada Tabung Al-Aqsa di bawah Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama Jordan yang diterima oleh menterinya, Dr Mohammad Al-Khalaileh bagi membaikpulih, menambahbaik dan memenuhi keperluan berkaitan pengurusan dan penyelenggaraan Masjid Al-Aqsa, pada Ahad lalu.

Terdahulu, sebelum pelaksanaan misi dibuat, Abdul Azeez telah mengadakan perbincangan dengan pengurusan tertinggi Masjid Al-Aqsa berikutan keadaan selepas dibom hinggakan tidak ada tempat berwuduk, tidak ada tandas, tidak ada sound system yang menyebabkan tidak kedengaran azan lagi.

Pada Selasa, anggota misi terbabit telah bergabung dengan 12 anggota pasukan HM4P di Kaherah bagi meneruskan fasa kedua misi memasuki Gaza bagi menyampaikan bantuan selepas diserang rejim Israel bulan lepas.

Serangan rejim zionis Israel selama 11 hari ke atas Gaza yang berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lalu menyaksikan lebih 250 warga Palestin maut, lebih 1,900 cedera dan lebih 77,000 hilang tempat tinggal. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit