‘Influencer’ Caprice Sertai Misi Kemanusiaan UMNO, Santuni Pelarian Palestin

KAHERAH (Mesir), 25 Jun – Terkesan dengan situasi perang dan konflik di Gaza dan Tebing Barat, influencer terkenal Caprice menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Palestin (HM4P) di bawah Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) bagi menyatakan solidariti kepada warga Palestin.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli tiba di Mesir semalam untuk bergabung dengan 16 anggota misi HM4P yang diketuai Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim merangkap Pengerusi BKUM.

Turut menyertai misi kemanusiaan itu adalah dua wakil MERCY Malaysia, termasuk exconya, Norazam Ab Samah.

Sebaik tiba di Kaherah semalam, Caprice terus menyertai sukarelawan misi HM4P menyampaikan bantuan kemanusiaan, termasuk pengagihan 10 kerusi roda yang disampaikan Abdul Azeez kepada wakil Hospital Palestin di Kaherah yang dikendalikan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.

Mereka turut melawat beberapa pesakit warga Palestin yang menerima rawatan lanjut di hospital berkenaan, termasuk seorang gadis bernama Mariam berasal dari Gaza yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Hospital Palestin di Kaherah menerima purata bulanan 10 pesakit warga Palestin dari Gaza yang mendapatkan rawatan lanjut ekoran kekangan perkhidmatan kesihatan di wilayah konflik terkepung itu.

Misi HM4P anjuran BKUM selama dua minggu bermula 19 Jun lalu bertujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan warga Palestin terjejas di Gaza yang diserang tentera Israel bulan lalu.

Sebelum menyertai anggota misi HM4P di Mesir kelmarin, Abdul Azeez telah mengetuai misi ke Jordan dan menyampaikan sumbangan USD200,000 kepada Tabung Masjid Al-Aqsa yang dikendalikan Kementerian Awqaf Jordan selain menyampaikan sumbangan 1,000 pek makanan kepada pelarian Palestin di empat kem pelarian di negara itu.

Sumbangan kewangan itu telah digunakan untuk menyelenggara dan membaikpulih kerosakan di Masjid Al-Aqsa, termasuk membaiki tingkap, pintu dan sistem siaraya di masjid suci umat Islam itu yang dicemari insiden pencerobohan pihak berkuasa rejim zionis bulan lalu.

Media sebelum ini melaporkan Mesir akan memudahkan laluan ke Gaza kepada badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia melalui sempadan Rafah hasil perbincangan di antara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Presiden Mesir Al-Sisi selain usaha digerakkan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan rakat sejawatnya di Mesir.

Serangan rejim Israel ke atas wilayah konflik Gaza yang berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lalu menyaksikan kemusnahan harta benda ratusan juta dolar selain mengorbankan lebih 250 warga Palestin, termasuk 66 kanak-kanak. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit