Rakyat Tuntut Moratorium, i-Sinar, i-Lestari Bukan Pinjaman ‘Ah Long Berlesen’

KUALA LUMPUR, 24 Jun – “Lain yang diminta, lain pula yang dapat.”

Demikian bidas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang terkejut bila membaca makluman daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang membenarkan syarikat-syarikat Kredit Komuniti (KK) atau Pemberi Pinjam Wang (PPW) untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 secara segera.

“Syarikat KK/PPW adalah syarikat-syarikat yang memberi skim pinjaman peribadi di Malaysia atau nama popular ‘Ah Long Berlesen’ dan diberi lesen oleh KPKT. Rakyat Malaysia melalui pinjaman berlesen ini boleh membuat pinjaman tanpa had dengan kadar faedah 12 peratus dengan cagaran dan 18 peratus tanpa cagaran.

“Namun, apakah kewajaran dan rasional sebenar Menteri KPKT YB (Yang Berhormat) Datuk Zuraidah melalui Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang membenarkan syarikat-syarikat pinjaman lesen ini kembali beroperasi? Soalnya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulasnya lagi, adalah benar ramai yang kesempitan dengan pelbagai tanggungan dan pengurangan pendapatan yang kronik akibat pandemik dan PKP yang berpanjangan, namun soalnya adakah dengan menggalakkan lagi budaya meminjam dengan Ah Long yang meningkatkan hutang isi rumah adalah pendekatan yang bijaksana.

“Lebih menyedihkan lagi, apabila banyak yang mengambil kesempatan di atas kesempitan rakyat dengan mengenakan kadar faedah setinggi 18 peratus kepada peminjam, yang rata-ratanya dalam keadaan terdesak,” tegasnya lagi.

Tambahan pula ujarnya, pembukaan sektor ini seolah-olah membuka peluang kepada syarikat-syarikat ini untuk mengutip hutang daripada peminjam di kala mereka dalam kesusahan.

“Ada yang sebelum ini membuat pinjaman untuk membayar kenderaan untuk bergerak mencari barang keperluan, ada juga yang mendapat pinjaman untuk membayar sewa kedai untuk mencari rezeki.

“Adakah kebenaran ini diberikan untuk menekan lagi rakyat? Tanyanya.

Justeru kata Dr Asyraf, Pemuda UMNO tetap dengan pendirian, bahawa bantuan tunai tambahan harus diutamakan ketika ini.

“Moratorium automatik tanpa caj/faedah tambahan secara pukal dan bantuan khas rakyat lebih utama pada ketika ini.

“Jangan ambil jalan mudah dan lebih membebankan rakyat dengan membenarkan ‘Ah Long Berlesen’ ini beroperasi,” desaknya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit