Prebet Suria Akhirnya Miliki Rumah Sendiri

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Keluarga pesara tentera Prebet Suria Mohamad Hassan, 58, yang tinggal bawah jejantas Jalan Loke Yew 6 di sini sejak dua tahun lalu, akan memiliki rumah sendiri dalam minggu ini.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya sudah berbincang dengan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa bagi menyegerakan perpindahan rumah buat tujuh beranak itu yang kini ditempatkan sementara di rumah transit di Flat Sri Johor, Cheras.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan menyediakan unit flat untuk didiami secara terus dan kekal serta dengan cara sewa beli. Mereka sekeluarga akan berpindah dalam waktu terdekat kalau boleh sebelum akhir minggu ini.

“Flat itu terletak di Bandar Tun Razak berhampiran tempat dia berniaga, sementara pihak Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) akan membantu dalam pengubahsuaian gerainya sebagai satu bantuan,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga itu di Flat Sri Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata pembayaran sewa rumah terbabit akan diuruskan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menerusi Baitulmal.

Ismail Sabri berkata veteran terbabit sudah menerima pencen sebanyak RM1,100 sebulan namun ia dikatakan tidak mencukupi.

“Sehubungan itu, JHEV turut akan memberikan bantuan sara hidup RM300 sebulan bermula bulan ini dan ia tambahan kepada bantuan one-off oleh kerajaan diterimanya sebelum ini sebagai veteran dan penerima Pingat Jasa Malaysia,” katanya.

Sebelum ini tular mengenai tujuh beranak yang tinggal di bawah jejantas Jalan Loke Yew 6 itu sejak dua tahun lepas.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata pihaknya menggesa supaya mana-mana veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tampil berdaftar di bawah JHEV bagi memudahkan sebarang bantuan untuk disalurkan kepada golongan terbabit selepas tamat berkhidmat.

“Bekas pesara ATM yang menghadapi kesusahan dan memerlukan bantuan digesa tampil memaklumkan keadaan mereka kepada JHEV kerana kira-kira 20,000 warga veteran belum berdaftar sekali gus menyukarkan jabatan itu untuk menjejaki dan menghulurkan bantuan sewajarnya,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.