Selamat Tiba Di Jordan, UMNO Mula Misi Kemanusiaan, Sampai Sumbangan Baik Pulih Masjid Al-Aqsa
PUTRAJAYA, 19 Jun – Pasukan Humanitarian Mission 4 Palestine (HM4P) terdiri daripada lima anggota, selamat tiba di Jordan pada 9.30 pagi waktu tempatan (2.30 petang waktu Malaysia) bagi memulakan misi kemanusiaan di Al-Quds dan Gaza.
Diketuai Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, misi dua minggu itu akan menyampaikan sumbangan kewangan daripada UMNO kepada Tabung Al-Aqsa bagi membaik pulih Masjid Al-Aqsa yang mengalami kerosakan berikutan serangan rejim Israel sejak 10 Mei lepas.
Sumbangan itu akan diterima Menteri Awqaf dan Hal Ehwal Agama Jordan Dr Mohammad Al-Khalaileh.
Abdul Azeez, yang juga Ahli Parlimen Baling, dijadualkan menyampaikan sumbangan makanan secara terus kepada pelarian Palestin di Jordan, menurut HM4P dalam satu kenyataan yang dikongsi dengan Bernama menerusi aplikasi WhatsApp, di sini hari ini.
Misi yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi tadi menerusi penerbangan Royal Jordanian, bertujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia dan UMNO kepada warga Palestin di Tebing Barat dan Gaza yang diserang rejim Israel bulan lepas.
Misi itu juga menghantar bantuan kemanusiaan dan memasuki wilayah konflik Gaza melalui sempadan Rafah dikuasai Mesir pada minggu depan bergantung kepada kelulusan pihak keselamatan Mesir. Pasukan HM4P di Jordan turut disertai Timbalan Pengerusi BKUM Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.
Pasukan di Jordan dijadual berlepas ke Mesir pada Selasa ini untuk bergabung dengan 10 anggota pasukan peninjau HM4P yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Kaherah malam ini.
Serangan rejim zionis Israel selama 11 hari ke atas Gaza yang berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lalu menyaksikan lebih 250 warga Palestin maut, lebih 1,900 cedera dan lebih 77,000 hilang tempat tinggal. – BERNAMA