Ketua Pemuda UMNO Perak Buat Laporan Polis, Poster Disifatkan Fitnah MB Perak
IPOH, 17 Jun – Ketua Pemuda UMNO Perak Mohd Ariff Abdul Majid membuat laporan polis berhubung poster yang dimuat naik di laman sosial Facebook dan Twitter yang disifatkan sebagai fitnah dan sengaja menimbulkan kebencian terhadap Menteri Besar Perak.
Mohd Ariff membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar kira-kira 4.15 petang tadi.
Menurut Mohd Ariff, poster berkenaan yang dimuat naik seorang pengguna media sosial, Fahmi Redza tular bersama kapsyen berbunyi ‘kita dah bagi makan sardin, jangan gatal nak mintak ayam pulak’ mengundang kecaman dan maki hamun pengguna media sosial yang lain.
“Ia termasuklah mendakwa Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad seperti angkuh dalam isu pemberian telefon pintar kepada pelajar miskin di Perak.
“Untuk mendapatkan kepastian, saya merujuk klip video di laman Facebook rasmi Menteri Besar Perak dan mendapati ungkapan seperti tertera di poster yang dimuat naik Fahmi Redza adalah tidak benar dan tidak pernah disebut Datuk Saarani,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Ariff berkata berdasarkan video sidang akhbar Datuk Saarani itu, beliau berpendapat Menteri Besar Perak itu sekadar memberi analogi mengenai sumbangan telefon pintar yang diberi oleh Yayasan YTL kepada kerajaan negeri Perak untuk disumbangkan kepada pelajar miskin.
“Beliau beranalogi untuk menggambarkan adalah tidak manis sekiranya kerajaan negeri menolak sumbangan telefon pintar berkenaan kerana ia diberi secara percuma untuk diagihkan kepada pelajar miskin bagi memudahkan mereka mengikuti kelas secara dalam talian.
“Sehubungan itu, adalah amat jelas, poster yang dimuat naik oleh Fahmi Redza adalah bersifat fitnah dan secara sengaja dibuat untuk menimbulkan kebencian,” katanya sambil menambah laporan polis itu dibuat agar siasatan dapat dilakukan oleh pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.- BERNAMA