UMNO Rakam Takziah Pemergian Mufti Perak

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Seluruh kepimpinan UMNO menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, 82, yang meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim yang mengesahkan perkara itu memaklumkan Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 2.45 petang pada Ahad.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata banyak jasa Allahyarham dalam membantu perkara-perkara yang berkaitan hal ehwal agama Islam di peringkat kerajaan negeri dan persekutuan.

“Seorang sahabat, guru, ulama, pendakwah, pembimbing dan juga ilmuan yang amat baik, berhemah dihormati dan disegani.

“Semoga Allah SWT menempatkan Allahyarham bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh disisi-Nya.

“Marilah kita bersama-sama menghadiahkan pahala bacaan Surah al-Fatihah kepada Allahyarham,” katanya dalam satu catatan di platform media sosialnya.

Harussani dilantik sebagai Mufti Perak bermula tahun 1985 sehingga kini dan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri mahupun pusat.

Antara jawatan disandang termasuk Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Teks Al-Quran, Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah Negeri Perak. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.