PKP 3.0 Masih Panjang… Prihatin Dan Saling Membantu Hadapi Ujian Mencabar – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berharap rakyat Malaysia saling membantu dan prihatin antara satu sama lain ketika menghadapi kesukaran penularan pandemik COVID-19 ini.

Katanya, apatah lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan kerajaan ini adalah dalam tempoh yang lebih panjang berbanding PKP sebelumnya.

“Ini bermaksud masih banyak hari perlu ditempuhi sebilangan besar rakyat dalam mendepani kesukaran hidup akibat PKP 3.0.

“Dalam keadaan ini makanya rakyat tiada pilihan selain perlu saling membantu. Kita buktikan rakyat Malaysia masyarakat yang prihatin.

“Kita bantu kita dengan mengambil tahu keadaan jiran tetangga kita. Jika ada dalam kesusahan akibat PKP 3.0 kita cari jalan untuk membantu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, tambahan pula ketika ini tiada lagi ura-ura bantuan akan diberikan kepada rakyat dalam meringankan beban mereka yang berkemungkinan terjejas mendepani PKP ini.

“Hilang sumber pendapatan, pendapatan berkurangan, perniagaan merosot gara-gara sekatan yang dikenakan.

“Namun tiada bantuan khusus diumumkan, manakala bank berkeras enggan memberi moratorium automatik.

“Ahli Parlimen pula tidak lagi dapat menyuarakan nasib rakyat dan mendesak kerajaan memberi bantuan sewajarnya kerana Parlimen telah digantung,” katanya lagi.

Ahmad Zahid menambah beliau memahami situasi yang melanda rakyat ketika ini namun sewajarnya ujian ini harus dilalui dengan rasional.

“Saya mengerti ramai yang kecewa, marah, kesal dan sesal dengan keadaan ini. Namun bertabahlah dan bertahanlah.

“Apabila tiba masanya nanti kita perbetulkan keadaan ini. Kita jadikan apa yang telah kita lalui ini sebagai pengalaman yang mendewasakan akal, fikiran dan tindakan kita.

“Pada waktu itu kita buat pilihan yang terbaik, pisang tidak berbuah dua kali. Kita kembali kepada kebenaran dan kepada yang selayaknya.kepada yang selayaknya,” katanya. –UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.