Keluarga Ucapkan Terima Kasih, Anak Muda Perlu Berfikir Sebelum Bertindak – Pemuda UMNO Johor
KUALA LUMPUR, 17 Mei – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata selepas beliau memuat naik kenyataan media yang diilhamkan pihaknya berkaitan penawaran khidmat guaman percuma, tiga keluarga tampil mendapatkan khidmat bantuan guaman Pemuda UMNO Johor.
Menurut pemahamannya, daripada 20 individu yang ditahan, 13 orang sudah dibebaskan dengan jaminan polis manakala selebihnya tujuh ditahan dan daripada jumlah itu setakat ini tiga keluarga menggunakan khidmat guaman Pemuda UMNO Johor.
“Semua maklumat dan perincian daripada keluarga berkenaan sudah direkodkan wakil Pergerakan Pemuda UMNO Johor untuk tindakan susulan.
“Alhamdulillah semua keluarga mengucapkan terima kasih atas inisiatif dilakukan Pergerakan Pemuda UMNO Johor.
“Pada masa sama, saya mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Johor menasihatkan kepada semua orang muda untuk berfikir sebelum bertindak membuat keputusan yang salah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Jelasnya lagi, Pergerakan Pemuda UMNO Johor juga ambil maklum mengenai perkembangan kes dan ingin mengingatkan semua setiap keputusan dibuat mahkamah adalah keputusan mutlak dan perlu diterima semua pihak dengan hati terbuka serta berlapang dada.
Terdahulu, Pemuda UMNO Johor telah bersepakat menubuhkan Sekretariat Peguam Pemuda UMNO Negeri Johor bagi menawarkan khidmat guaman percuma kepada individu yang terlibat dalam himpunan tunjuk perasaan yang berlaku di Parit Raja, baru-baru ini.
Bantuan khidmat guaman percuma ini dibuat bukan bersandarkan pada agenda tertentu atau menyokong tindakan dibuat semua individu yang ditahan namun ia adalah sebagai inisiatif bagi membantu keluarga yang terkesan, ujarnya. – UMNO ONLINE
Oleh: Amin Adnan