Bantu Dan Prihatin, Selamatkan Palestin – Wanita UMNO

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Wanita UMNO mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara yang dilancarkan tentera rejim Israel di Semenanjung Gaza yang mengakibatkan kematian dan kecederaan terhadap rakyat Palestin termasuk kanak-kanak.

Ketua Penerangannya, Datuk Norshida Ibrahim berkata lebih kejam serangan pada hari-hari terakhir bulan suci Ramadan lalu merupakan tindakan biadab dan tidak menghormati bukan sahaja umat Islam di seluruh dunia, tetapi umat manusia secara keseluruhan.

“Kami mengutuk kekejaman serangan yang melampau dan keterlaluan oleh Israel ini secara keseluruhan dan terang-terangan menyalahi undang-undang antarabangsa.

“Apa yang sebenarnya berlaku di Palestin bukanlah isu-isu kemanusiaan semata-mata tetapi lebih daripada itu. Ia melibatkan isu menyayat hati kaum muslimin apabila kezaliman Zionis yang menghina akidah umat Islam, rakyat Palestin diseksa, dizalimi dan dibunuh seperti haiwan dan rakyat Palestin diaibkan, dimalukan secara terbuka kepada masyarakat dunia tanpa mendapat pembelaan daripada mana-mana pihak dengan sewajarnya.

“Sebagai umat Islam kita mesti sedar bahawa pada ketika ini umat seagama kita di bumi Palestin ditindas dan dibunuh dengan kejam tanpa belas kasihan oleh tentera Zionis,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Norshida seterusnya menegaskan serangan ganas dan pencerobohan berterusan tentera rejim Israel terhadap rakyat Palestin dan umat Islam yang sedang beribadat di Masjid al-Aqsa sejak Jumaat lalu, serta pengusiran rakyat Palestin yang tinggal di kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur sangat zalim.

Tegasnya lagi tindakan itu sungguh tidak berperikemanusiaan menyerang jemaah yang tidak bersenjata dengan bom tangan dan peluru getah.

“Justeru, Wanita UMNO mendesak Israel untuk segera menghentikan serta-merta kekejaman terhadap rakyat Palestin di wilayah yang didudukinya termasuk yang berada di Semenanjung Gaza.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mengusir rakyat Palestin dari rumah mereka secara haram oleh polis Israel dan mendesak rejim segera menghentikan pengusiran secara paksa itu.

“Ini kerana Timur Baitulmaqdis sebahagian kawasan yang tidak boleh dipisahkan dari wilayah Palestin yang diduduki, tidak ada kawasan pun yang boleh dirampas,” ujarnya.

Dalam pada itu, tambah Norshida Wanita UMNO turut menggesa agar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah, Rusia, Amerika Syarikat serta masyarakat antarabangsa untuk memaksa Israel segera menghentikan tindakan kejam itu.

Jelasnya ketegangan bukan sahaja melibatkan pihak tentera tetapi pendatang Yahudi yang bertindak ganas dengan menceroboh dan merampas kediaman rakyat Palestin termasuk kedai dan kebun.

“Bagaimanapun, rakyat Palestin tidak menyerah kalah malah mereka bangkit melawan pencerobohan itu tanpa senjata. Mereka menghadapi kezaliman dengan gagah berani, memberikan sumbangan dengan pengorbanan nyawa para syuhada yang bertali arus tidak henti-henti.

“Mereka itulah golongan yang sedang menunggu giliran untuk syahid laksana alunan ombak lautan yang tidak pernah terhenti. Islam mengajar kita bahawa umat Islam adalah bersaudara dan wajib dibela.

“Justeru, marilah kita membantu meringankan penderitaan dan bersolidariti bersama rakyat Palestin dan berdoa agar rakyat Palestin diberikan kesabaran, pertolongan serta kemenangan dalam usaha mereka memelihara maruah dan hak mereka,” tambahnya.- UMNO ONLINE

Oleh: Azman Abas

 

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit