PBB Perlu Tegas Dengan Israel, Rakyat Palestin Terhimpit Dengan Kancah Kezaliman
KUALA LUMPUR, 16 Mei – Wanita UMNO Pulau Pinang dan Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang membidas sekeras-kerasnya tindakan melampau tentera Israel yang melakukan serangan udara di Palestin, terutama di Gaza sehingga meragut lebih 100 nyawa Palestin termasuk kira-kira 50 nyawa wanita dan kanak-kanak.
Ketuanya, Datuk Norliza Abdul Rahim dan Hasanah Idris menerusi kenyataan media yang dilakukan secara bersama berkata, tindakan tersebut adalah tidak berperikemanusiaan yang dilakukan berulang-ulang oleh tentera Zionis sejak akhir Ramadan lalu
“Wanita UMNO Pulau Pinang dan Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang senada bersama kerajaan Malaysia yang menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggunakan segala kuasa dan pengaruh.
“Dilakukan mengikut undang-undang antarabangsa bagi membantu rakyat Palestin yang terhimpit dengan kancah kezaliman ketenteraan Israel,” kata kenyataan itu.
Menerusi semangat Muafakat Nasional, mereka juga mengggesa bantuan kemanusiaan dilakukan dengan segera bagi membantu rakyat Gaza yang berhadapan dengan pergolakan ini.
“Bantuan dari segi membawa bahan bakar, makanan dan bekalan perubatan kerana dianggarkan lebih 10,000 rakyat Palestin terpaksa meninggalkan kediaman mereka di Gaza.
“Malahan rakyat Palestin termasuk wanita, orang tua dan kanak-kanak ini terpaksa berlindung di sekolah, masjid dan tempat lain yang difikirkan selamat ketika pandemik global COVID-19 dengan akses air, makanan, kebersihan dan perkhidmatan kesihatan yang terhad.
“Wanita UMNO Pulau Pinang dan Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang bertegas semua pihak harus sentiasa mematuhi undang-undang kemanusiaan serta hak asasi manusia antarabangsa. Moga rakyat Palestin terus dilindungi Allah SWT,” tegas mereka. – UMNO Online