Budaya Gangguan Seksual Perlu Dititiknoktahkan, Bukan Satu Gurauan – Norliza
KUALA LUMPUR, 27 April – Wanita UMNO dan Wanita Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang memberi amaran keras supaya budaya gangguan seksual hendaklah dihentikan serta-merta bermula dari peringkat sekolah dan sistem pendidikan di negara ini.
Tegas ketuanya, Datuk Norliza Abdul Rahim, sudah tiba masanya Malaysia sifar gangguan seksual kerana ia boleh dikategorikan sebagai satu bentuk ugutan dan ancaman yang dilihat masih berakar-umbi dalam kalangan masyarakat kita.
“Budaya ini perlu dititknoktahkan. Kementerian Pendidikan perlu bertindak tegas dengan mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang memandang ringan kejadian seperti ini termasuk guru yang menggunakan gurauan seks dalam mana-mana proses pengajaran dan pembelajaran.
“Budaya yang mendiskriminasikan wanita dan perempuan perlu dikikis daripada sistem pendidikan kita. Tanpa tindakan yang tegas, perkara seperti ini akan berulang tanpa henti dan mungkin menjadi lebih parah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu beliau melahirkan rasa kesal atas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara yang mengatakan bahawa ugutan rogol terhadap mangsa mungkin adalah satu gurauan
“Ia seolah-olah pihak polis memandang ringan ugutan seksual terhadap seorang perempuan. Pihak polis perlu memandang serius ugutan seperti ini dan bukannya diremeh-temehkan. Pihak polis mempunyai moral kepolisan untuk menegakkan undang-undang dan memastikan gangguan seksual dititiknotaktahkan.
“Wanita UMNO dan Wanita BN Pulau Pinang bertegas bahawa Kementerian Pendidikan perlu mengambil tindakan yang wajar berhubung isu gurauan seksual seorang guru jasmani yang mempersendakan jenayah seks dalam kelas. Kami mahu tindakan segera diambil pihak Kementerian Pendidikan dan pihak Polis DiRaja Malaysia.”
Bidasnya, kenyataan Menteri Pendidikan bahawa perkara ini dalam siasatan polis dan enggan mengulas mengenai tindakan lanjut Kementerian seolah-olah mencuci tangan dalam kes ini sedangkan kementerian terbabit mempunyai kuasa untuk mendisplinkan guru berkenaan bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang.
“Kami juga mengulangi kekesalan terhadap perkara ini dan berdiri teguh bersama pelajar perempuan yang terlibat dan berani tampil untuk menegakkan martabat wanita.
“Sekiranya perlu, kami sedia menawarkan khidmat guaman percuma kepada pelajar yang telah mengalami gangguan emosi dan trauma akibat kejadian gangguan seksual yang dianggap tidak masuk akal dalam budaya kita yang mengamalkan amalan Rukun Negara di negara ini.
“Gurauan yang membawa unsur seks tidak sama sekali boleh dibenarkan dalam sistem pendidikan kita, lebih-lebih lagi antara guru dan pelajar di dalam waktu pengajaran dan pembelajaran. Kita tidak harus membiarkan kejadian seperti ini berulang di mana-mana institusi pendidikan kita,” katanya lagi. – UMNO Online