MyVAC: Peranan Belia Penting Untuk Jayakan Proses Imunisasi – Reezal Merican

KUALA LUMPUR, 25 April – Peranan belia menerusi program Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) amat penting dalam membantu negara menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata penglibatan belia sebagai sukarelawan program itu menjadi instrumen yang amat signifikan dalam memastikan Malaysia mencapai imuniti kelompok bagi memutuskan rantaian penularan wabak itu .

“Sukarelawan belia berperanan sebagai ejen penghubung, membantu proses pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan , tenaga bantuan logistik serta khidmat sokongan psikologi kepada penerima vaksin.

“Penglibatan golongan belia dan MyVAC, menunjukkan negara terus memperkasakan peranan mereka dalam memerangi penularan wabak berkenaan,” katanya dalam ucapan secara maya sempena Global Youth Mobilisation, semalam.

Global Youth Mobilisation adalah gerakan perubahan antarabangsa yang dipimpin oleh pemuda dalam merancang dan mencari penyelesaian untuk menangani kesan serta usaha pemulihan daripada pandemik COVID-19.

MyVac yang dilancarkan pada Mac, adalah inisiatif dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membantu melancarkan pengurusan pemberian vaksin kepada masyarakat.

Mengenai  Global Youth Mobilisation, Reezal Merican berkata KBS turut menyokong usaha gerakan yang dipimpin oleh belia itu sebagai platform untuk mengetengahkan lagi peranan golongan muda pasca-COVID-19.

Katanya, gerakan itu secara langsung membuka ruang kepada belia dari pelbagai negara berbincang dan merancang tindakan untuk bangkit daripada impak pandemik itu.

“Saya berharap usaha ini dapat memberi manfaat berteruskan kepada belia khususnya di Malaysia dalam berdepan waktu sukar ini,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.