Ahmad Zahid Gesa Ayuh Laksanakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011

KUALA LUMPUR, 25 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan untuk melaksanakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Beliau berkata demikian ekoran laporan media berhubung kenaikan harga minyak masak bagi botol bersaiz 5 kilogram (kg) sehingga 10 peratus dan kenaikan ini sudah tentu membebankan pengguna ketika sambutan Aidilfitri berbaki sekitar 17 hari lagi.

“Ramai pengguna merungut katanya kenaikan itu berlaku di Kedah, Pulau Pinang dan Johor. Ada juga komen nakal netizen yang mengatakan Malaysia mengeluarkan minyak sawit tetapi harga minyak masak seperti harga Yahudi,” katanya dalam hantaran di facebook berkaitan isu terbabit.

Jelasnya, pada awal Januari lalu beliau ada berkongsi permasalahan berhubung kenaikan harga minyak masak. Semasa itu minyak botol 5kg berharga antara RM19 hingga RM22 meningkat sehingga RM27. Baru tiga bulan berlalu kenaikan sekali lagi berlaku antara RM28 hingga RM34.

“Apa yang bakal meningkat lagi selepas ini? Ia amat mengecewakan apatah lagi wang bernilai RM50 tidak mampu memenuhkan satu troli barangan.

“Pada 19 April lalu KPDNHEP melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 yang berkuatkuasa 21 April sehingga 20 Mei. Sebanyak 12 barangan dimasukkan dalam senarai barang kawalan iaitu daging ayam dan lembu, telur ayam serta ikan.”

Soalnya, kenapa tidak dimasukkan minyak masak botol dalam senarai barang kawalan?

“Lagipun minyak masak mendapat permintaan yang tinggi terutama musim perayaan. Kita mengakui minyak masak paket diberikan subsidi tetapi pembeliannya sangat terhad.

Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku terutama ketika negara berdepan krisis ekonomi dan pandemik Covid-19. Persatuan pengguna juga menyifatkan kenaikan itu tidak masuk akal tambahan pula minyak masak tidak berkualiti dijual pada harga mahal.

“Ayuh laksanakan laksanakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit